IPOH: Kegiatan memproses dadah sejak awal tahun lalu oleh enam lelaki termasuk dua beradik tumpas selepas sebuah premis yang dijadikan makmal dadah di Jelapang dekat sini diserbu pihak polis, pada Rabu.

Kesemua mereka yang berumur antara 32 hingga 57 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di lokasi terbabit oleh sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada jam 3 pagi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam serbuan berkenaan pihaknya menemukan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM672,649.

“Hasil pemeriksaan di premis yang dijadikan makmal proses dadah itu, pihak polis menemukan dadah disyaki jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 155 gram (g), Heroin anggaran berat 52.3 g serta cecair disyaki  Methamphetamine dengan anggaran berat 57.5 liter.

“Selain itu dalam serbuan berkenaan turut dirampas adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Perkarangan IPK Perak pada Jumaat.

Tambah beliau dalam serbuan sama pihaknya juga menyita sebuah lori dan empat motosikal di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan RM76,000.

Selain itu Mohd Yusri berkata daripada enam suspek yang ditahan dua daripada mereka adalah adik beradik yang berusia 57 tahun dan 53 tahun, masing-masing bekerja sebagai pengawal keselamatan dan pemotong rumput.

Ujarnya hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas keenam-enam suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methamphetamine dan morfin.

Kata Mohd Yusri, manakala hasil semakan juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Jumlah dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di Perak dan boleh digunakan seramai 180,000 orang penagih dadah.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati bahan terlarang itu mereka memperoleh dari kawasan utara Semenanjung,” jelasnya lagi.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh mulai 5 Julai bagi membantu siasatan.