SUNGAI PETANI: Kegiatan ahli sindiket memproses dadah di rumah sewa terbongkar apabila diserbu sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada 2 September lalu.

Menerusi beberapa serbuan polis berjaya merampas dadah bernilai lebih RM1 juta.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dilakukan serentak di Alor Setar dan Sungai Petani pada jam 5.30 petang berjaya menahan dua lelaki warga tempatan berusia 43 tahun.

Katanya, keseluruhan jumlah dadah yang dirampas ialah 60.73 kilogram (kg) dadah jenis heroin, 6.49 kg syabu dan 375.1 gram syabu yang bernilai RM1,095,000.

Jelas beliau, dadah ini untuk kegunaan kira-kira 300,000 penagih.

Kamarul memaklumkan, sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dan dadah yang diproses dipercayai untuk memenuhi pasaran di sekitar utara tanah air seperti Kedah dan negeri-negeri jiran.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan bekerja sebagai peniaga perabot dan mekanik.

Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai empat kes jenayah lampau berkaitan dadah.

"Kedua-duanya adalah ahli sindiket dan buat masa ini kita siasatan masih berjalan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan untuk mengambil tindakan ke atas anggota yang masih bebas," katanya

Kamarul berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah yang ada di ruangan dapur rumah terbabit, beberapa buah kenderaan dan barangan turut disita dan keseluruhan nilai dianggarkan RM48,064.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari, sehingga 9 September ini.

Kamarul Zaman berkata, polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan sekiranya terdapat anggota sindiket yang lain malah beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada beberapa lagi tangkapan selepas ini.