KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar tenaga dan peneraju pengurusan sisa, Malakoff Corporation Bhd (Malakoff), kini melaksanakan inisiatif penjenamaan semula dalam usaha memacu agenda ke arah kelestarian alam dan dunia yang lebih hijau.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Ir. Ahmad Tajuddin Ali berkata, penjenamaan semula Malakoff merangkumi identiti visual segar dan matlamat perniagaan yang diperbaharui serta membina transformasi strategik berterusan syarikat bagi membentuk masa depan lebih mesra alam.

“Malakoff berazam untuk kekal relevan dengan keperluan pengguna dan perniagaan yang semakin berkembang. Kami komited meminimumkan jejak alam sekitar, membangunkan penyelesaian sumber tenaga boleh diperbaharui serta mempromosikan penjagaan alam sekitar yang bertanggungjawab.

“Ia selaras dengan hasrat kami dalam menerajui peralihan menjadi sebuah syarikat yang lebih mesra alam dan mampan bagi menyokong matlamat negara dalam mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya kepada media pada Majlis Penjenamaan Semula Malakoff di Hotel Alof, di sini pada Rabu.

Majlis turut disempurnakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Malakoff buktikan komitmen terhadap agenda kelestarian alam

Menurut Ahmad Tajuddin, Malakoff turut mempelbagaikan portfolio perniagaannya dengan memberi tumpuan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian alam sekitar yang komprehensif dengan mewujudkan tiga entiti baharu.

“Entiti baharu itu adalah Malakoff Green Solutions yang bertanggungjawab menyelaras sumber tenaga boleh diperbaharui melalui solar, hidro kecil, dan infrastruktur mobiliti karbon bebas; Malakoff Environmental Solutions bagi penyelesaian kitar semula, pengurusan sisa marin, sisa berbahaya, pengurusan sisa, penyahgaraman air, dan projek sisa kepada tenaga, manakala Malakoff Energy bagi penyelesaian kuasa, gas dan penyejukan.

“Malah, perubahan besar dalam hala tuju perniagaan ke arah kelestarian alam dan ekonomi kitaran telah dimuatkan dalam identiti korporat baharu Malakoff menerusi tiga teras utama yang melambangkan fokus kami terhadap manusia, planet dan kemakmuran,” ujarnya.

Berpandukan Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malakoff telah menetapkan sasaran dalaman yang tinggi untuk menunjukkan komitmennya terhadap kelestarian alam.

Ia termasuk langkah penyahkarbonan dalam usaha mengurangkan keamatan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2031, meningkatkan hasil keuntungan daripada sumber tenaga boleh diperbaharui serta penyelesaian alam sekitar sebanyak 50 peratus dalam dekad akan datang.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, meskipun kerajaan sedang membangunkan dasar yang akan mempercepat peralihan kepada neutraliti karbon, ia juga bergantung kepada kerjasama dan daya cipta semua pihak berkepentingan.

“Dengan konteks ini, hala tuju perniagaan Malakoff yang diperbaharui menjadi satu contoh terbaik, malah pemain utama sepertinya boleh memimpin usaha ke arah masa depan lebih lestari dengan tenaga dan penyelesaian alam sekitar baharu dan mampan.

“Mereka telah memulakan fasa baharu transformasi dan kita melihat ia sangat penting bagi syarikat korporat dalam menyelesaikan cabaran alam sekitar yang mendesak dihadapi oleh negara ketika ini,” jelasnya.

Malakoff merupakan pengeluar tenaga bebas terbesar di Malaysia dan mempunyai reputasi yang cemerlang dengan rekod prestasi keuntungan dan kecekapan yang berorientasikan hasil.

Selepas pengambilalihan Alam Flora Sdn Bhd pada 2019, syarikat tersebut juga telah menjadi salah satu penyedia perkhidmatan alam sekitar terbesar negara dengan menguruskan sebanyak 5,748 tan sisa setiap hari.