Malaysia Airlines melakukan penerbangan menyelamat untuk membawa pulang 143 rakyat Malaysia yang terkandas di Melbourne.

Dalam kenyataan, syarikat penerbangan itu berkata penerbangan MH148 berlepas pada 9.16 malam pada Jumaat, 15 Mei, lewat disebabkan gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Melbourne.

Dikendalikan oleh pesawat Airbus A330-300, penerbangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.49 pagi pada Sabtu, membolehkan penumpang Malaysia pulang untuk kali pertama sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula pada 18 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kapten Izham Ismail berkata walaupun syarikat penerbangan menghadapi situasi sukar pada masa ini, Malaysia Airlines kekal teguh dalam komitmennya untuk mendukung tanggungjawabnya sebagai syarikat penerbangan nasional Malaysia.

"Kami gembira untuk berada di barisan hadapan dan memainkan peranan penting dalam menyatukan keluarga Malaysia kita di seluruh dunia," katanya.

Malaysia Airlines menyedari permintaan perjalanan yang berkurangan dengan menjalankan lebih banyak penerbangan kargo berbanding penumpang ke pelbagai destinasi dalam rangkaian mereka, membawa barangan keperluan berharga dan bekalan yang digunakan untuk memerangi COVID-19.

Pada 14 Mei, syarikat penerbangan itu membawa 35 tan kargo penting terdiri daripada surat dan sarung tangan pembedahan dari Kuala Lumpur ke Melbourne melalui penerbangan MH149.

-- BERNAMA