KUALA LUMPUR:Malaysia Airlines Bhd mendapat tujuh bintang (markah penuh) daripada Airline Ratings dalam tinjauan bebas mengenai langkah-langkah kesihatan dan keselamatan COVID-19.

Penilaian itu berdasarkan tujuh kriteria -- panduan COVID-19 dalam laman web syarikat penerbangan, penjarakan sosial semasa menaiki pesawat, peralatan perlindungan diri (PPE) kru kabin, pemakaian pelitup muka yang wajib di dalam pesawat, pengubahsuaian kepada perkhidmatan makanan, kit kebersihan penumpang dan pembersihan menyeluruh pesawat.

Menurut tinjauan itu, syarikat penerbangan nasional dianggap cemerlang dalam semua kategori, sehingga dianugerahkan tujuh bintang, katanya dalam kenyataan hari ini.

Airline Ratings adalah laman web tinjauan keselamatan syarikat penerbangan dan penilaian produk di seluruh dunia.

Sistem penilaiannya daripada satu hingga tujuh bintang, mengambil kira beberapa faktor yang berbeza berkaitan dengan audit daripada badan-badan penerbangan, persatuan utama dan data keselamatan syarikat penerbangan itu sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata COVID-19 memberikan cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh industri penerbangan sebelum ini, dan Malaysia Airlines perlu menyesuaikan perkhidmatan dan protokolnya dengan segera untuk memastikan penumpang dan kakitangan selamat dan selesa.

"Pada Julai 2020, kami memperkenalkan kempen "Fly Confidently" untuk mendidik penumpang mengenai langkah-langkah yang dipertingkatkan dilaksanakan di semua pintu di lapangan terbang dan juga di dalam pesawat.

"Kami amat berbangga apabila pelbagai langkah yang kami laksanakan, daripada daftar masuk hingga ketibaan, diiktiraf oleh Airline Ratings dan berharap penilaian tujuh bintang ini memberi jaminan kepada pelanggan kami bahawa setiap penerbangan dengan Malaysia Airlines adalah selamat dan menyeronokkan untuk semua di dalam pesawat," katanya.

Bagi mengambil peluang daripada harga hebat syarikat penerbangan itu dan rekod keselamatan COVID-19 yang luar biasa, penumpang boleh menempah tiket mereka melalui aplikasi Malaysia Airlines, laman web rasmi di www.malaysiaairlines.com dan ejen pelancongan yang mengambil bahagian.

-- BERNAMA