SEPANG: Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama negara yang menggunakan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Penerbangan pertama menggunakan pesawat SAF, MH7979, yang dikendalikan oleh pesawat A330-200 Malaysia Airlines, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol.

Pesawat penumpang yang ditukar menjadi kapal terbang kargo itu dipacu oleh campuran 38 peratus SAF yang diperbuat daripada minyak masak terpakai dan bahan api jet konvensional.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail berkata penerbangan itu menandakan komitmen Malaysia Airlines untuk menjadikan SAF sebagai pilihan bahan api yang lebih bersih serta berdaya maju untuk penerbangan biasa menjelang 2025.

Usaha tersebut terlahir daripada perjanjian bekalan antara PETCO Trading (UK) Ltd, yang merupakan cabang pemasaran dan perdagangan Petronas di Eropah serta Neste, pengeluar utama diesel dan SAF yang boleh diperbaharui di dunia, yang ditapis daripada sisa.

"Sekarang ini sebahagian besar daripada pencemaran membabitkan bahan api, oleh itu, MAG (syarikat induk Malaysia Airlines) berharap 100 peratus penerbangan Malaysia Airlines akan menggunakan SAF menjelang 2050 untuk pilihan tenaga yang lebih bersih dan berdaya maju," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis sambutan penerbangan sulung itu di sini hari ini.

Lebih 370,000 penerbangan dan 45 syarikat penerbangan telah menggunakan SAF sejak 2016.

SAF merupakan salah satu penyumbang utama ke arah meminimumkan pelepasan karbon industri penerbangan dengan keupayaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus berbanding penggunaan bahan api jet fosil.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd (PDB), Azrul Osman Rani, yang turut hadir berkata Petronas sedang meneroka ruang bahan api bio melalui perancangan pembangunan penapisan bio di samping pemprosesan bersama di kemudahan sedia ada.

Beliau berkata loji penapisan bio yang disasarkan untuk permulaan pada 2025 bertujuan membekalkan SAF dengan fleksibiliti operasi dalam penghasilan minyak sayuran hidrogen atau diesel yang boleh diperbaharui.

"Ini akan meletakkan Petronas sebagai pengeluar SAF yang akan menyediakan rakan penerbangan kami akses yang lebih baik kepada bahan api mampan sambil mengekalkan daya saing kos melalui keupayaan tempatan," katanya.

-- BERNAMA