Skip to main content

Malaysia

Malaysia akan bangunkan mekanisme sendiri urus pelarian, pemohon suaka

KUALA LUMPUYR, 3 Mei -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemubual media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penekanan diberikan kepada mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, penyelarasan terhadap dasar membabitkan akses kepada kebajikan dan sosial, di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia akan membangunkan mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka sendiri tanpa bergantung pada entiti asing seperti yang dinyatakan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 mengenai Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka (semakan 2023).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata penekanan diberikan kepada mekanisme pengurusan dan penguatkuasaan yang efisien, penyelarasan terhadap dasar membabitkan akses kepada kebajikan dan sosial, di samping menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hal itu termasuk pemberian akses kepada kesihatan, pendidikan dan kebenaran bekerja kepada semua pelarian yang layak.

“Pengurusan isu pelarian yang berkesan turut memerlukan keseimbangan antara penguatkuasaan undang-undang negara dengan tanggungjawab sosial komuniti.

“Strategi penguatkuasaan kerajaan sering kali diganggu-gugat akibat kewujudan pemudah cara dalam kalangan warga tempatan, atas kepentingan peribadi seperti keuntungan sewa atau tenaga kerja murah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi portal Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam menggubal dasar pelarian yang komprehensif berikutan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) memandangkan Malaysia menempatkan lebih 126,000 pelarian Rohingya berdaftar.

Ahmad Zahid berkata kerajaan melalui MKN, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah memperkasakan Arahan MKN No. 23 yang telah ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 14 Jun 2023 sebagai usaha mengurus pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.

Beliau berkata Arahan MKN No. 23 yang komprehensif itu antara lain bertujuan menetapkan fungsi dan peranan setiap kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement