awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Semua ADUN Bersatu akan dilantik sebagai Exco - MB Perlis
Jumpa di London, lima kali Muhyiddin kata sedia lepaskan jawatan - Annuar
China lanjutkan pengurangan yuran visa untuk rakyat Malaysia hingga 31 Dis 2026
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Malaysia akan lancar bidaan TBB rentas sempadan bagi Singapura pada akhir tahun - Fadillah

Bernama
Bernama
13/11/2024
08:30 MYT
Malaysia  akan lancar bidaan TBB rentas sempadan bagi Singapura pada akhir tahun - Fadillah
Menurut Fadillah, kerajaan menyasar untuk meningkatkan sumbangan TBB kepada kapasiti kuasa terpasang Malaysia kepada 70 peratus menjelang 2050. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bidaan tenaga boleh baharu (TBB) rentas sempadan Malaysia bagi pengimport tenaga Singapura, di bawah Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) akan bermula menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, melalui usaha menyepadukan grid kuasa serantau, negara menyasarkan untuk mengukuhkan jaminan tenaga di seluruh negara anggota ASEAN.
"Seterusnya bagi grid bersepadu serantau, ia juga boleh berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dalam memupuk kerjasama serantau melalui perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan.
"Dengan berkongsi lebihan tenaga, negara boleh mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil sambil membina infrastruktur tenaga ASEAN bersepadu," katanya semasa berucap pada acara Sustainability Environment Asia (SEA) kedua 2024.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut mengesahkan penjanaan arang batu akan dihentikan secara berperingkat dan tiada loji janakuasa arang batu baharu akan dibina.
Menurutnya, sejajar dengan pendirian jelas Agensi Tenaga Antarabangsa bahawa usaha mengurangkan pergantungan terhadap arang batu penting untuk mengehadkan pemanasan global, Malaysia komited untuk mencapai objektif ini.
"Kami akan terus meningkatkan fleksibiliti grid dengan melabur dan membangunkan grid pintar, mendigitalkan sistem kuasa dan mengembangkan sistem simpanan tenaga.
"Menjelang 2035, kami menyasarkan untuk meningkatkan fleksibiliti grid sebanyak 20 peratus, membolehkan penyepaduan lebih besar sumber TBB," katanya.
Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, kerajaan menyasar untuk meningkatkan sumbangan TBB kepada kapasiti kuasa terpasang Malaysia kepada 70 peratus menjelang 2050, meningkat daripada 28 peratus ketika ini.
Sementara itu, beliau menggariskan rancangan untuk menstruktur semula perkhidmatan air Malaysia dalam dekad akan datang dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Persatuan Air Malaysia.
"Sehingga 2023, 97.1 peratus kawasan bandar dan luar bandar mempunyai akses kepada bekalan air, manakala perkhidmatan pembetungan meliputi 86.9 peratus bandar utama.
"Melalui Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRM) Malaysia menyasarkan 98 peratus liputan air bersih luar bandar dan 31 peratus kadar air bukan hasil menjelang 2025," katanya.
Menurutnya, Malaysia terus komited untuk memupuk persekitaran yang sihat, memacu kemakmuran ekonomi, dan meningkatkan kualiti hidup untuk rakyatnya dan generasi akan datang.
Beliau berkata ketika negara berusaha ke arah mencapai matlamat karbon sifar bersihnya menjelang 2050, penting untuk memanfaatkan setiap peluang untuk mengemudi transformasi yang mampan dan menerima ekonomi bulat.
"Saya mempelawa perniagaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan meneroka semua pilihan kerjasama," katanya.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Bidaan tenaga boleh baharu
#Fadillah Yusof
#TBB
#pengimport tenaga Singapura
#rentas sempadan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan