KUALA LUMPUR: Sekumpulan lelaki bersenjatakan pistol menyamun sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, di sini pada Khamis, melibatkan kerugian mencecah RM9.7 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, empat lelaki telah memasuki premis berkenaan sebelum bertindak mengacukan dua pucuk pistol.
Advertisement
"Suspek kemudiannya melarikan 21 dulang emas dengan anggaran berat kira-kira 15 kilogram.
"Turut dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan ialah selaras senapang patah bersama sebutir peluru milik pengawal keselamatan premis terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Fadil berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.
Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup berdurasi kira-kira tiga minit memaparkan sekumpulan penjenayah bersenjata pistol dan bertopi keledar melakukan samun di sebuah kedai emas.
Suspek turut menyerang seorang pengawal keselamatan sebelum melarikan sejumlah barangan berharga dalam tempoh beberapa minit. -- Sinar Harian