PUTRAJAYA: Malaysia mengalu-alukan tindakan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat meluluskan resolusi menggesa keamanan dan kestabilan dikembalikan di Myanmar.

Resolusi yang diluluskan dengan 119 undi menyokong, 36 berkecuali dan satu menentang itu turut menggesa agar keganasan dihentikan serta-merta dan pemimpin politik yang ditahan dibebaskan bagi merintis jalan penyelesaian serta membuka ruang dialog kondusif dan inklusif.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia menyokong resolusi itu selaras dengan pendiriannya untuk terus terbabit secara konstruktif, menyumbang ke arah penyelesaian damai dan mengembalikan keamanan di Myanmar.

"Apa yang lebih penting, ketetapan itu mendesak pelaksanaan segera usul dalam Konsensus Lima Perkara yang dicapai pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN yang diadakan pada 24 April 2021 serta keperluan mendesak terhadap kerjasama antara semua pihak di Myanmar dengan Wakil Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar dan ASEAN," menurut kenyataan itu.

Ia menambah, sokongan Malaysia terhadap resolusi UNGA itu adalah bagi memastikan keganasan dapat segera ditamatkan kerana ia secara positif menyumbang ke arah memulihkan keadaan di Myanmar.

Malaysia tetap tegas dan sentiasa sedia untuk terbabit secara konstruktif dan berusaha meningkatkan usaha dengan masyarakat antarabangsa ke arah menyelesaikan keadaan di Myanmar, menurut kenyatan itu.

-- BERNAMA