KUALA LUMPUR: Malaysia dianggap antara negara yang terkehadapan dan mempunyai perancangan yang baik dari segi pelaksanaan dasar pendidikan sama ada di peringkat rendah mahupun peringkat tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, berkata beliau yakin bahawa kerajaan bersedia untuk bersama-sama memastikan agenda pendidikan diberi keutamaan di peringkat global.

"Sepanjang sesi Education World Forum (EWF) berlangsung, ada beberapa wakil negara turut datang berjumpa dengan saya dan kagum dengan cara Malaysia mengurus tadbir pendidikan negara dan berharap agar Malaysia dapat menawarkan kepakaran dan pengalaman ini untuk membantu negara-negara yang memerlukan.

"Satu perkara penting yang saya kongsikan bersama rakan-rakan sidang pleno EWF ini ialah pentingnya kerjasama antara satu sama lain dan bergerak dalam pasukan untuk memastikan pendidikan pemangkin perubahan generasi masa hadapan," katanya melalui kenyataan di Facebook pada Rabu.

Dengan tajuk ‘What can we learn from each other about improving practice in allocating funding, effective planning and identifying priorities?' dalam sesi sidang pleno EWF ini, beliau juga berkongsikan strategi Malaysia dalam melaksanakan dasar pendidikan negara melalui tiga perkara iaitu peruntukan pembiayaan, perancangan strategi yang berkesan, dan mengenal pasti keutamaan.

"Pertamanya, saya maklumkan bahawa Malaysia antara negara yang memberi penekanan penting dalam isu pendidikan dan antara buktinya ialah melalui peruntukan belanjawan untuk sektor pendidikan sebanyak 19 peratus daripada keseluruhan bajet negara pada tahun 2024," jelasnya.

Ujar beliau, pada masa yang sama, kerajaan juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan kemudahan dan fasiliti pendidikan dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi.

Manakala dari segi perancangan strategi pula, katanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menggariskan beberapa fokus untuk diberi perhatian bagi menghasilkan impak bukan sahaja kepada warga pendidikan tetapi kepada masyarakat dan juga negara.

"Lima strategi yang diberi perhatian iaitu bakat berkualiti tinggi, penyelidikan dan inovasi yang berkesan, pemindahan ilmu kepada masyarakat, pengantarabangsaan globalisasi, dan urus tadbir infrastruktur berkualiti," katanya.

Tambahnya, untuk memastikan fokus strategi ini dicapai, beberapa tindakan turut diberi keutamaan iaitu seperti meletakkan sasaran bagi mencapai lima fokus utama, iaitu setiap fakulti dan pentadbir universiti berbincang bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai, persetujuan dan persefahaman yang baik antara kementerian dan universiti, memantau perjalanan tindakan, dan aktiviti setiap universiti.

Tiga peringkat jawatankuasa juga akan ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kerja, Jawatankuasa Pemandu, dan Jawatankuasa Pusat di mana setiap pelaksanaan serta prestasi tindakan akan dipantau dan dilaporkan.

Zambry menjadi salah seorang panel dalam sesi sidang pleno EWF di London, United Kingdom.

Turut bersama beliau dalam sesi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Outcomes Fund Dr Amel Karboul; Menteri Pendidikan Teknikal, Latihan Vokasional dan Pekerjaan Republik Guinea, Aminata Kaba; dan Menteri Pendidikan Tinggi dan Kajian Sains Tunisia, Moncef Boukthir.