BERLIN: Malaysia ketika ini mempunyai ramuan yang lengkap untuk menjadikan negara sebagai pengeksport tenaga boleh baharu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, keyakinan itu berdasarkan kepada kekuatan Malaysia dalam sektor tenaga hijau, solar dan ekosistem pambangunan yang mampan.

“Mengenai tenaga boleh baharu, ia menjadi bidang lonjakan utama kami. Malaysia mempunyai kapasiti yang kuat dalam sektor solar, tenaga hijau, dan keupayaan untuk mengeksport tenaga boleh baharu ini.

“Kami sudah mengeksport kepada Indonesia di ibu negara baharu (di Kalimantan). Usaha ini juga boleh dilihat melalui penyambungan kabel dasar laut dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura. Ini merupakan potensi besar yang telah mencambahkan penubuhan pusat pangkalan data dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Isnin.

Anwar turut menegaskan kesaling hubungan baik yang luas antara Malaysia-Jerman yang wajar terus diterokai.

Sehubungan itu, Jerman disifatkan Perdana Menteri sebagai rakan dagang penting daripada negara-negara Kesatuan Eropah.

“Dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah, Jerman merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia dengan nilai pelaburan yang besar mencecah hampir AS$15 bilion.

“Dalam perbincangan kami (bersama Scholz), kami sangat menghargai pemilihan Malaysia sebagai hub kecemerlangan dan latihan oleh syarikat-syarikat terkehadapan Jerman; termasuk Infineon,” katanya.

Sebagai reaksi kepada kenyataan Perdana Menteri itu, Scholz berkata, Jerman akan terus mencari peluang untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, berdasarkan kepada potensi Malaysia untuk membangunkan sektor tenaga boleh baharu, terutamanya tenaga hidrogen.

“Dari perspektif industri pada masa depan, kita perlukan lebih banyak tenaga elektrik untuk perusahaan ekonomi dan ia perlu dihasilkan oleh tenaga boleh baharu. Oleh itu, hidrogen merupakan gantian kepada arang dan gas yang digunakan hari ini.

“Kita perlu lakukan ini secara bersama. Syarikat semikonduktor Jerman melabur di Malaysia. Ini merupakan bentuk kerjasama yang sangat cemerlang dan kita mahu tingkatkan lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pelaburan dua hala Malaysia-Jerman setakat Januari 2024 meningkat sebanyak 14.8 peratus kepada RM5.59 bilion.

Manakala nilai eksport dari Malaysia ke Jerman telah meningkat kepada RM2.92 bilion padan Januari 2024 berbanding RM2.29 bilion pada tempoh sama 2023. Seterusnya, nilai import Malaysia dari Jerman berjumlah RM2.67 bilion setakat Januari 2024.

Ini menjadikan Malaysia merekodkan dagangan surplus dengan Jerman yang bermaksud nilai eksport lebih tinggi berbanding nilai import dengan republik tersebut.