Pendekatan holistik adalah penyelesaian terbaik untuk menangani ancaman asimetrik terhadap anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kata Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Ramlan Ibrahim.

Beliau berkata peningkatan dan ancaman asimetrik yang berterusan terhadap anggota pengaman PBB merumitkan keadaan keselamatan yang tidak selamat dan menggugat pencapaian dan kemajuan ke arah mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara-negara berkenaan.

"Justeru, adalah jelas bahawa keperluan untuk misi pengaman PBB terus mendesak. Pada 1990, jumlah penempatan pengaman PBB mencecah kira-kira 70,000 anggota.

"Hari ini, angka itu sedikit melebihi 116,000 anggota yang dikerah di bawah 16 misi aktif, sembilan daripadanya di Afrika dan lima daripadanya di negara-negara Francophone," katanya pada Debat Terbuka Majlis Keselamatan mengenai Operasi Pengaman yang Menghadapi Ancaman asimetri di New York pada Isnin.

Menurut Ramlan, titik perubahan utama dalam evolusi mandat tradisional pengaman PBB ialah kemasukan unsur-unsur perlindungan orang awam sebagai mandat teras misi, yang diperkenalkan buat kali pertama melalui Resolusi 1270 Majlis berhubung situasi di Sierra Leone pada 1999.

"Justeru, misi pengaman yang menyasarkan usaha melindungi orang awam sebagai misi teras semakin meningkat yang kini dikerah dalam situasi geo politik yang kompleks termasuk yang menimbulkan ancaman asimetrik," kata beliau.

Oleh itu, beliau berkata Malaysia menggariskan beberapa cadangan kepada negara-negara hos termasuk penubuhan sebuah rangkaian mekanisme untuk berkongsi maklumat dengan pasukan pengaman.

"Ini akan membantu dalam perancangan untuk operasi serta mengenal pasti ancaman sebelum pengerahan pasukan pengaman. Selain itu, pasukan negara-negara hos harus bersiap sedia untuk bekerjasama dalam operasi pengaman PBB bagi mengekang ancaman.

"Pasukan negara-negara hos harus bersiap siaga sejak awal-awal lagi pengerahan operasi pengaman untuk memikul tanggungjawab keselamatan sepenuhnya bagi misi tersebut," kata beliau.

Ramlan juga mencadangkan negara hos lebih memberi penekanan terhadap pembangunan sumber manusia terutama memberi tumpuan kepada belia dan wanita dengan memberi mereka

peluang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mana-mana proses damai dan usaha mewujudkan keamanan.

"Misi pengaman mesti boleh menyesuaikan dan responsif kepada pelbagai pengajaran berdasarkan pengalaman masa lampau untuk terus memperbaiki dalam bertindak balas terhadap ancaman baharu," katanya.

Ramlan juga berkata satu lagi perkara yang perlu diutamakan ialah memastikan pasukan

tentera di daratan dibekalkan dengan peralatan dan latihan yang perlu dan sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata teknologi baharu yang boleh menyumbang kepada perolehan maklumat perisik yang lebih baik dan kesedaran situasi juga tidak kurang penting.

Sebagai negara yang berpegangg teguh kepada pendekatan pelbagai hala bagi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa, Ramlan berkata Malaysia telah menjadi penyumbang aktif kepada misi pengaman PBB.

"Sejak 1960, hanya tiga tahun selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia sehingga kini telah menyertai lebih 30 operasi pengaman. Dalam hubungan ini, saya sekali lagi ingin menegaskan mengenai komitmen dan sokongan Malaysia yang berterusan," katanya.

-- BERNAMA