MALAYSIA
Malaysia berusaha dapatkan kadar tarif lebih rendah dalam rundingan AS pada 18 Jun - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata rundingan ini bertujuan mengurangkan tarif semasa yang mencecah 24% ke atas beberapa eksport Malaysia, serta memastikan sektor penting kepada kedua-dua negara dikenakan tarif di bawah 10%. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia dalam usaha mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah untuk sektor terpilih di bawah kadar tarif minimum 10 peratus Amerika Syarikat (AS), terutamanya untuk industri yang dianggap penting kepada kedua-dua negara, menjelang satu lagi pusingan rundingan di Washington pada 18 Jun.
Ringkasan AI
- Malaysia sedang berunding dengan Amerika Syarikat untuk mendapatkan kadar tarif yang lebih rendah bagi sektor-sektor terpilih, menjelang pusingan rundingan seterusnya di Washington pada 18 Jun 2025.
- Menteri MITI, Tengku Zafrul, menyatakan bahawa rundingan ini bertujuan mengurangkan tarif semasa yang mencecah 24% ke atas beberapa eksport Malaysia, serta memastikan sektor penting kepada kedua-dua negara dikenakan tarif di bawah 10%.
- Tarif baharu oleh AS yang diumumkan pada April 2025 melibatkan lebih 60 negara termasuk Malaysia, namun pelaksanaannya ditangguhkan selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan lanjut.
"Sudah tentu, sasaran pertama kami ialah mengurangkan kadar itu. Keduanya, mengenal pasti sektor yang sesuai dikenakan tarif di bawah 10 peratus.
"Kita perlu mempertimbangkan sektor yang penting kepada pengeksport Malaysia dan juga penting kepada ekonomi AS," katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, sektor tertentu yang sedang dalam rundingan tidak dinyatakan.
Pada April 2025, kerajaan AS mengumumkan langkah tarif baharu melibatkan lebih 60 negara, termasuk Malaysia.
Pelaksanaan tarif ini telah ditangguhkan sementara selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami