Malaysia boleh mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara empat dan enam peratus tahun depan jika harga minyak mentah kekal melebihi paras US$40 setong, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata sasaran pertumbuhan KDNK itu dibuat berdasarkan harga minyak US$48 setong dan pertumbuhan global lebih perlahan, dipacu oleh pelaburan swasta dan pertumbuhan penggunaan, masing-masing pada 6.7 dan 6.4 peratus.

Bagaimanapun katanya, semua ini tertakluk kepada perubahan seperti aliran modal dan situasi kewangan lebih mencabar sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan kadar faedah.

Dalam sidang media pascaBajet 2016 di Kementerian Kewangan di sini pada Rabu, Mohd Irwan berkata kerajaan mempunyai rancangan luar jangka dan akan hanya mengubah suai perbelanjaan jika harga minyak jatuh bawah paras US$40 setong.

"Setakat ini harga minyak berlegar sekitar US$45 setong atau US$46 atau US$50, namun selagi ia tidak berada pada paras US$40, kita okey," katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahterakan Rakyat'.

Mohd Irwan berkata ketika Bajet 2015 dibentangkan pada Oktober tahun lepas, harga minyak ialah US$100 setong namun jatuh kepada sekitar US$55 setong pada Januari tahun ini.

Selain harga minyak mentah, Malaysia juga berdepan dengan cabaran ekonomi disebabkan pertumbuhan ekonomi China menyederhana kepada 6.3 peratus yang diunjur bagi tahun depan.

"Eksport kita ke China agak besar dan kita akan terjejas. Sebab itulah Bajet 2016 digubal berdasarkan pelbagai cukai bagi merangsang permintaan domestik," katanya.

Mohd Irwan berkata kerajaan menyediakan insentif dan projek berimpak tinggi yang banyak untuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi menarik pelaburan dan merangsang ekonomi seterusnya.

Katanya projek seperti Cyberjaya City Centre, Lembah Wawasan Sime Darby dan Aeropolis KLIA akan merancakkan dan mengekalkan kegiatan pelaburan swasta.

"Menerusi insentif cukai, kita jangka kumpulan berpendapatan pertengahan akan mempunyai pendapatan boleh guna yang tinggi untuk dibelanjakan. Secara tidak langsung ini akan merangsang penggunaan dan pelaburan akan menjana ekonomi domestik bagi mencapai sasaran pertumbuhan empat peratus.

"Bersama-sama dengan eksport dan lain-lain, kita boleh unjurkan pertumbuhan pada 4,7 peratus. Malah ekonomi dunia juga berdepan masalah, (namun) kita telah menyuntik sejumlah RM5.9 bilion ke dalam sistem untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

Menjawab satu soalan, Mohd Irwan berkata kerajaan tiada rancangan untuk meningkatkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memandangkan ia baru diperkenalkan tahun ini.

Cukai penggunaan berkadar enam peratus itu dilaksanakan pada masa yang tepat dan terbukti penyelamat ekonomi negara memandangkan hasilnya akan dipulangkan kepada rakyat, katanya menambah pendapatan daripada GST dapat menampung kekurangan dalam pendapatan kerajaan akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

"Apabila GST diperkenalkan, dividen pendapatan berkaitan minyak yang pada tahun lepas berjumlah RM62 bilion, jatuh kepada RM44 bilion tahun ini selepas kerajaan mengumumkan langkah-langkah penyesuaian semula.

"Ini bermakna penyusutan hampir RM18 bilion dalam pendapatan berkaitan minyak. Mujurlah kita memperkenalkan GST dan kita jangka dapat mengutip RM27 bilion bersih setakat Disember tahun ini," katanya.

Mohd Irwan berkata kutipan sebenar adalah sekitar RM32 bilion namun kerajaan akan mengembalikan semula kira-kira RM5.4 bilion kepada syarikat sebagai cukai input dan bayaran balik kepada pelancong.