Malaysia boleh tamatkan perjanjian timbal balas dengan AS bila-bila masa - AGC

Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC). - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis, menurut Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ringkasan AI
- Malaysia berhak menamatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis tanpa perlu persetujuan AS.
- AGC menjelaskan pelaksanaan ART tertakluk kepada undang-undang domestik Malaysia dan boleh ditamatkan bagi melindungi kedaulatan serta kepentingan negara.
- ART ditandatangani pada 26 Okt semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan rundingan diketuai MITI bagi merunding semula tarif perdagangan antara Malaysia dan AS.
"Pelaksanaan kewajipan dan komitmen di bawah perjanjian ini oleh Malaysia adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara domestik Malaysia yang terpakai," menurut AGC.
Menurut AGC, ART juga memperuntukkan rundingan dengan suci hati antara Malaysia dan AS berhubung isu pelaksanaan sebelum mana-mana pihak boleh mengambil tindakan terhadap pihak satu lagi.
"Bagaimanapun, berdasarkan Artikel 7.1, Malaysia dan AS sebagai negara anggota Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) akan terus mengiktiraf hak, kewajipan masing-masing serta perlindungan yang diperuntukkan di bawah perjanjian WTO bagi perdagangan antarabangsa," menurut AGC.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Okt lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus, di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.
Rundingan berkenaan diketuai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi pihak Malaysia manakala AS diwakili Office of the United States Trade Representative.
MITI turut melibatkan kementerian dan agensi berkaitan dalam rundingan itu dan keputusan dasar berhubung ART telah dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira aspek ekonomi, politik dan perundangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


