KUANTAN: Malaysia akan cadangkan kepada ASEAN untuk mengadakan hubungan tidak tidak rasmi (engagement) dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang dipilih rakyat Myanmar sebelum rampasan kuasa berlaku di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata cadangan itu dibuat melihatkan tiada kemajuan pada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN selepas setahun untuk cari penyelesaian terhadap kebuntuan politik di negara itu sejak rampasan kuasa berlaku.

"Kita tidak mencadangkan ASEAN untuk mengiktiraf kerajaan lain, tetapi hubungan tidak rasmi itu mungkin boleh difikirkan terutamanya bagaimana untuk kita menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang masih berada dalam negara mereka," katanya.

Ia antara tiga cadangan yang akan dibawa Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 5 Mei ini yang akan diadakan melalui persidangan video, dengan dua lagi cadangan Malaysia adalah melipatgandakan bantuan kemanusiaan bagi Myanmar dan memperkasa kedudukan serta fungsi utusan khas ASEAN ke Myanmar

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Program Jualan Myrakyat Sentuhan Kasih Aidilfitri Parlimen Indera Mahkota di perkarangan Wisma Belia di sini, hari ini.

Malaysia dukacita kerana 'tiada kemajuan yang dapat dilihat' pada pelaksanaan 5PC walaupun dua utusan khas ASEAN telah berusaha bersungguh-sungguh, sebahagian besarnya disebabkan kurang kerjasama diberikan pihak junta negara itu, kata beliau.

Dua utusan khas itu ialah Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof selaku utusan pertama sebelum peranan itu diambil alih oleh Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn.

5PC itu ialah: menamatkan keganasan; mengadakan perbincangan konstruktif dengan semua pihak berkepentingan; ASEAN menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar; pelantikan duta khas ASEAN untuk melaksanakan dundingan; dan utusan khas terbabit dibenarkan melawat negara itu.

Mengenai cadangan kedua melipatgandakan bantuan kemanusiaan di Myanmar, beliau berkata ia termasuk melibatkan organisasi antarabangsa yang mungkin dibimbing Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berpengalaman dalam menghantar bantuan ke negara-negara bergolak.

Mercy Malaysia, kata Saifuddin adalah satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara yang masih boleh beroperasi di Myanmar dan oleh sebab itu Malaysia akan cadangkan supaya NGO itu diiktiraf sebagai salah satu NGO dari negara ASEAN.

"Kita juga mencadangkan jika boleh, setiap negara ASEAN untuk mempunyai NGO mereka di sana untuk membantu kerana saya percaya setiap negara mempunyai kemampuan sendiri. Ini bagi memastikan ketelusan bantuan supaya ia sampai ke semua pihak yang memerlukan bantuan itu.

"Ada negara rakan-rakan dialog ASEAN yang saya fikir mereka bersedia dengan dana (untuk membantu) tetapi mereka tunggu dan llihat sejauh mana sistematiknya kerja penyampaian bantuan kerana kerisauan mereka adalah bantuan tidak sampai pada sasarannya jika hanya melalui kerajaan Myanmar sekarang," katanya.

Mengenai cadangan ketiga itu, beliau berkata ASEAN perlu mencari jalan bagi memperkasa kedudukan dan fungsi utusan khasnya ke Myanmar berdasarkan pengalaman dua utusan sedia ada yang berhadapan dengan banyak kekangan daripada rejim tentera negara itu.

Menurut organisasi hak asasi manusia Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (Myanmar), sekurang-kurangnya 1,780 orang awam telah terbunuh manakala lebih 10,000 orang ditangkap dan hampir 1,000 dipenjarakan sejak rampasan kuasa pada 1 Feb 2021 itu.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata hubungan diplomatik Malaysia dan Singapura tidak terganggu dengan pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyat Malaysia Nagaenthran Dharmalingam di republik itu pada 27 April lepas, selepas didapati bersalah atas dakwaan menyeludup dadah.

"Kita menghormati lunas undang-undang yang dijalankan di Singapura dan hubungan diplomatik tidak terjejas kerana kita saling memahami daripada segi keperluan setiap kerajaan dan negara untuk menegakkan keluhuran undang-undang masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu, Saifuddin berkata ia bertujuan membantu rakyat membeli barangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada harga berpatutan yang antara lain menawarkan 400 kilogram daging dan 300 ekor ayam pada harga murah semasa tempoh 'happy hour'.

-- BERNAMA