MALAYSIA
Malaysia catat 12 negeri menua tahun ini, peratusan penduduk umur tua meningkat

Perak kekal mendahului dengan peratusan tertinggi penduduk umur tua iaitu 10.3 peratus. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Trend penuaan di Malaysia berterusan dengan 12 negeri telah mencapai status negeri menua termasuk tambahan tiga negeri baharu iaitu Melaka pada kadar 7.3 peratus dan masing-masing 7.1 peratus bagi Pahang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, menurut statistik Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2025 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ringkasan AI
- Malaysia terus mengalami trend penuaan dengan 12 negeri kini mencapai status negeri menua, termasuk tambahan Melaka, Pahang dan Kuala Lumpur. Perak mencatatkan peratusan tertinggi penduduk berusia 65 tahun ke atas (10.3%), manakala peratusan penduduk muda menurun kepada 21.6%.
- Jumlah penduduk Malaysia dianggarkan meningkat kepada 34.2 juta pada 2025, dengan kadar pertumbuhan 0.5%. Penduduk warganegara meningkat kepada 30.9 juta, sementara bukan warganegara menurun. Umur penengah penduduk meningkat kepada 31.3 tahun, menunjukkan perubahan demografi ke arah populasi lebih tua.
- Selangor, Johor dan Sabah mencatatkan peratusan penduduk tertinggi, manakala Labuan dan Putrajaya paling rendah. Kuala Lumpur paling padat dengan 8,546 orang/km. Nisbah jantina nasional ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, dengan lelaki melebihi perempuan di hampir semua negeri kecuali Perlis dan Putrajaya.
Beliau berkata lima negeri melepasi kadar pertumbuhan nasional 0.5 peratus iaitu Terengganu pada kadar 1.2 peratus, Kelantan (satu peratus) manakala Pahang, Selangor dan Melaka masing-masing mencatatkan 0.6 peratus.
"Tiga negeri mencatatkan peratusan penduduk tertinggi pada 2025 ialah Selangor dengan 21.6 peratus diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (11 peratus). Sebaliknya Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya mencatatkan peratusan penduduk terendah iaitu masing-masing 0.3 peratus dan 0.4 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata jumlah penduduk Malaysia pada 2025 dianggarkan 34.2 juta berbanding 34.1 juta pada 2024 dengan kadar pertumbuhan 0.5 peratus.
Beliau berkata penduduk warganegara meningkat daripada 30.7 juta pada 2024 kepada 30.9 juta pada 2025 dengan kadar pertumbuhan menurun daripada 0.7 peratus kepada 0.6 peratus, manakala penduduk bukan warganegara mencatatkan penurunan mendadak dengan kadar pertumbuhan sebanyak -0.5 peratus pada 2025 berbanding 13.6 peratus tahun sebelumnya.
Beliau berkata peratusan penduduk umur tua berusia 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 7.6 peratus kepada lapan peratus bagi tempoh sama, manakala penduduk umur muda berusia 0 hingga 14 tahun menurun daripada 22.2 peratus kepada 21.6 peratus.
Sementara itu, kumpulan umur bekerja 15 hingga 64 tahun meningkat sedikit daripada 70.2 peratus kepada 70.4 peratus manakala umur penengah penduduk Malaysia meningkat 31.3 tahun pada 2025 berbanding 30.9 tahun pada tahun sebelumnya.
"Komposisi penduduk warganegara pada 2025 meningkat kepada 90.1 peratus daripada 90 peratus pada 2024. Sementara itu, komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 10 peratus kepada 9.9 peratus bagi tempoh sama.
"Bumiputera menyumbang 70.5 peratus daripada 30.9 juta warganegara pada 2025 daripada 70.3 peratus pada 2024. Walau bagaimanapun, komposisi Cina menurun kepada 22.2 peratus (2024: 22.4 peratus) manakala India dan lain-lain masing-masing kekal pada 6.5 peratus dan 0.8 peratus," katanya.
Mohd Uzir berkata populasi lelaki ialah 18 juta pada 2025 mengatasi perempuan yang mencatatkan 16.3 juta dengan nisbah jantina bagi keseluruhan penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
"Secara keseluruhannya, semua negeri di Malaysia mencatatkan bilangan lelaki melebih perempuan kecuali Perlis (99) dan Putrajaya (97). Negeri yang mencatatkan nisbah jantina melebihi purata nasional iaitu 110 termasuk Kuala Lumpur dengan 117 lelaki bagi setiap 100 perempuan diikuti Johor (116), Selangor (114), Pahang (114) dan Melaka (112)," katanya.
Beliau berkata Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk muda berusia 0 hingga 14 tahun tertinggi pada 2025 dengan 33.3 peratus manakala Kuala Lumpur mencatatkan komposisi penduduk umur bekerja 15 hingga 64 tahun tertinggi iaitu 76.1 peratus.
Mohd Uzir berkata kepadatan penduduk Malaysia meningkat kepada 104 orang bagi setiap kilometer persegi pada 2025 berbanding 103 orang pada 2024 dengan paling padat ialah Kuala Lumpur iaitu 8,546 orang bagi setiap kilometer persegi manakala Sarawak mempunyai kepadatan penduduk terendah dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi diikuti Pahang (46 orang) dan Sabah (51 orang).
Beliau berkata berdasarkan Unjuran Penduduk 2020-2060, penduduk Malaysia dijangka mencapai kemuncak 42.38 juta orang pada 2059 sebelum menurun secara perlahan bermula 2060 kepada 42.37 juta, 42.08 juta pada 2065 dan 41.43 juta pada 2070.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami