BEIJING: Kerajaan Malaysia dan China telah menjalin kerjasama yang amat baik bagi menangani isu pelajar Malaysia kembali ke negara itu untuk menyambung semula pengajian mereka dalam masa terdekat.

Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata kerajaan memahami langkah yang diambil oleh China ketika ini berhubung isu itu susulan situasi pandemik COVID-19 di negara berkenaan.

"Jelas sekali ini adalah satu situasi yang kita perlu tangani, dari segi langkah yang diambil oleh kerajaan China, sememangnya kita menyokong kerana mereka lebih mengetahui keadaan dalaman negara mereka.

"Mereka (kerajaan China) mahu membantu dari segi membenarkan pelajar kita memasuki negara itu dan menyedari bahawa perkara ini perlu dilakukan secara berperingkat bagi menangani kebimbangan atau isu yang mereka hadapi di negara mereka," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

Beliau berkata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah turut membincangkan isu itu dengan rakan sejawatnya Wang Yi pada Disember tahun lepas.

"Jika anda ingat pada Disember (2021) iaitu ketika Datuk Saifuddin Abdullah datang ke China, terdapat pengumuman bahawa pelajar Malaysia akan dibenar memasuki negara itu bagi menyambung pengajian mereka dan proses ini sudah bermula," katanya.

Saifuddin dilaporkan berkata terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di China namun mereka terpaksa pulang ke tanah air apabila COVID-19 mula menular di negara itu dua tahun lepas.

Pelajar terbabit mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, bahasa serta perubatan tradisional.

Terdahulu, Raja Nushirwan merasmikan Festival Malaysia Truly Asia 2022 anjuran Kedutaan Malaysia di Beijing dengan sokongan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia di China (MAYCHAM), yang merupakan sebuah pertubuhan sosial bukan berasaskan keuntungan bagi mempromosi pertukaran perdagangan dan kebudayaan antara kedua-dua negara.

Festival dua minggu itu, yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai budaya Malaysia dalam kalangan rakyat China, diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65.

-- BERNAMA