MALAYSIA
Malaysia cipta sejarah, jadi tuan rumah anjur Smart City Expo KL 2025

Anuar Fariz berkata, penganjuran itu membuktikan Malaysia kini dilihat sebagai antara peneraju rantau ini dalam membangunkan ekosistem teknologi bandar pintar berasaskan AI. - Gambar MDEC.
KUALA LUMPUR: Malaysia bakal mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama di Asia Tenggara menganjurkan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL 2025) pada 17 hingga 19 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara bertaraf antarabangsa itu merupakan kesinambungan kepada expo asal di Barcelona, Sepanyol, yang menjadi rujukan global pembangunan bandar pintar dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, penganjuran itu membuktikan Malaysia kini dilihat sebagai antara peneraju rantau ini dalam membangunkan ekosistem teknologi bandar pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).
"Malaysia dipilih kerana kita bukan sahaja ada infrastruktur, tapi kita ada visi, dasar, ekosistem yang menyeluruh, termasuk 5G, AI dan digitalisasi dalam pentadbiran bandar,” katanya.Menurut Anuar, antara perkara yang bakal ditonjolkan ialah perancangan Malaysia untuk membangunkan konsep ‘AI Cities’, dengan kecerdasan buatan menjadi pemacu kepada pengurusan bandar masa depan, dari pengangkutan hingga pengurusan bencana.
Beliau berkata, teknologi AI hari ini bukan lagi soal masa depan, sebaliknya sudah diaplikasikan secara langsung dalam sistem trafik, pengurusan sisa, ramalan bencana, keselamatan awam dan kawalan alam sekitar seperti pemantauan banjir kilat.
"Kalau dulu kita fikir bandar pintar ini macam sains fiksyen, sekarang semua adalah realiti. Kita hendak buktikan kepada rakyat, AI ini bukan benda asing, tapi ia sudah bantu kehidupan harian,” katanya.
Anuar turut mendedahkan, MDEC berhasrat mewujudkan sebuah ‘National AI Command Centre’, yang akan bertindak sebagai pusat kawalan nasional bagi menyelaras data besar secara masa nyata untuk pengurusan bandar yang lebih efisien.
“Jadi impian dan visi kita dapat adakan National Command Centre yang membantu Malaysia dalam menangani masalah-masalah yang dapat digunakan melalui AI.
“Tapi yang penting juga, kena ada elemen manusia, tak boleh kita berserah kepada teknologi itu, keperihatinan dan cara kita menilai itu mesti masih manusia,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia telah mencatatkan lonjakan 126 peratus pelaburan asing dalam sektor digital, satu bukti jelas negara kini berada di landasan yang tepat sebagai hab teknologi serantau.
Bukan sekadar teknologi gergasi, expo kali ini turut memberi fokus kepada penyertaan syarikat kecil sederhana (PKS), startup, serta anak muda yang mahu merebut peluang dalam ekosistem bandar pintar dan ekonomi digital.
Antara tokoh antarabangsa yang bakal hadir termasuk Dr. Alfonso Vegara dari Sepanyol serta Datuk Bandar Kuala Lumpur yang juga bekas Presiden Habitat PBB yang sinonim dengan pembangunan bandar lestari, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.
Lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dijangka hadir sepanjang tiga hari penganjuran expo itu yang turut disokong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kementerian berkaitan.
Penganjuran SCEKL 2025 sekali gus akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang paling ke hadapan dalam transformasi bandar pintar dan ekonomi digital, bukan sahaja di ASEAN malah di peringkat Asia Pasifik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami