PUTRAJAYA: Malaysia dalam proses menyertai Alliance 8.7, sebagai antara negara pathfinder yang menyokong sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 8.7, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Alliance 8.7 merujuk kepada kerjasama global bertujuan mempercepatkan penghapusan buruh paksa, perhambaan moden menjelang 2030 dan buruh kanak-kanak menjelang 2025 dan antara negara pathfinder yang telah menyertainya adalah Argentina, Chile, Nepal dan Uganda.

Sivakumar dalam kenyataan hari ini berkata beliau telah menekankan komitmen Malaysia dalam usaha memerangi isu buruh paksa pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-111 pada 12 Jun lepas di Geneva, antaranya pindaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang telah mewujudkan peruntukan baharu menerusi Seksyen 90B berhubung buruh paksa.

Seksyen 90B antara lain memperuntukkan mengenai larangan kepada majikan daripada mengugut, memaksa atau memperdaya pekerja untuk membuat sesuatu perkara dan tidak membenarkan pekerja keluar dari tempat kerja yang ditakrifkan sebagai amalan buruh paksa.

"Malaysia juga telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (2021-2025) (NAPFL) berhubung buruh paksa pada November 2021 dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang aduan atau makluman yang menjurus kepada isu buruh paksa," katanya.

Menurutnya, KSM akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam memerangi isu tersebut dan melaksanakan pelbagai operasi pemeriksaan berdasarkan peruntukan perundangan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

"Saya juga memberi penekanan dalam menyediakan penginapan standard untuk pekerja iaitu Malaysia telah meminda Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang bertujuan untuk memaksa majikan menyediakan standard minimum perumahan dan kemudahan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup pekerja.

"Malaysia juga telah melanjutkan perlindungan keselamatan sosial bagi skim kecederaan pekerjaan kepada pekerja asing berkuat kuasa mulai 1 Jan 2019, sejajar dengan prinsip teras Agenda Kerja Baik Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO)," katanya.

Selain itu, Sivakumar berkata usaha memerangi isu buruh paksa akan terus dikuatkuasakan sebagai bukti kukuh selaras dengan komitmen negara yang telah meratifikasi konvensyen ILO berhubung buruh paksa iaitu C029 - Forced Labour Convention, 1930 (No.29) pada 11 Nov 1957 dan Protocol of 2014 to the Forced Labour Convention, 1930 (P029) yang telah diratifikasi pada 21 Mac 2022.

KSM juga akan terus bekerjasama dengan pihak kepentingan dalam negara dan pertubuhan antarabangsa untuk merealisasikan objektif Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Antipemerdagangan Orang 2021-2025 (NAPTIP 3.0) dan NAPFL, katanya.

-- BERNAMA