NEW YORK: Hubungan dua hala di antara Malaysia dan Palestin diperkukuhkan dengan termeterainya empat memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di sini pada Jumaat.

Kedua-dua pemimpin itu turut mengadakan pertempuan dua hala sebelum menyaksikan majlis menandatangani empat MoU mengenai Penubuhan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama, Kerjasama dalam Bidang Kesihatan, Pelancongan dan Hal Ehwal Islam.

Menerusi pertemuan selama 30 minit itu, Perdana Menteri mengulangi komitmen Malaysia dalam mendukung perjuangan dan hak Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara.

Ismail Sabri turut mengulangi pendirian Malaysia yang tidak menyokong Israel di mana-mana platform antarabangsa, sehingga Palestin mendapat hak sebagai sebuah negara berdaulat serta proses perdamaian Israel dan Palestin selesai, sekali gus menamatkan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan kedua-dua negara, Abbas menjemput Ismail Sabri untuk membuat lawatan rasmi ke Palestin bagi melihat sendiri penindasan ke atas rakyat wilayah itu.

Perdana Menteri dalam pada itu mengalu-alukan rakyat Palestin melanjutkan pengajian di Malaysia dalam bidang-bidang yang dapat menyumbang kepada pembangunan semula Palestin.

Ketika ini, dianggarkan 800 penuntut Palestin mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di universiti Malaysia, antaranya dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.