KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi dipilih menduduki satu daripada 20 kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi Kategori C dalam Perhimpunan IMO penggal 2022-2023, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Dalam kenyataan semalam, beliau berkata keputusan semasa sesi ke-32 Perhimpunan IMO yang bermula dari 6 hingga 15 Dis itu sekali gus menjadi kemenangan Malaysia buat penggal kesembilan berturut-turut.

Katanya Malaysia adalah antara 27 negara anggota yang bersaing dengan mendapat 128 undi daripada 159 undi manakala satu undi tidak sah dan tiada yang berkecuali.

"Ini juga merupakan detik bermakna buat negara sempena ulang tahun ke-50 Malaysia sebagai negara anggota IMO sejak tahun 1971, (dan) 2006-2007 merupakan penggal pertama kita menduduki Ahli Majlis IMO," katanya.

Menurut Wee pemilihan itu adalah penghormatan dan tanggungjawab kepada Malaysia memandangkan industri perkapalan merupakan satu daripada industri penting dalam pengangkutan barangan dalam negara serta pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, pelabuhan di Malaysia dan industri perkapalannya memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, dengan kepentingan modal insan dalam industri perkapalan dan maritim turut akan mendapat manfaat hasil pemilihan semula Malaysia ke Majlis IMO.

Wee berkata pemilihan semula itu bergantung pada komitmen jangka panjang dan sumbangan negara dalam program serta hala tuju IMO dan agensi di bawahnya, selain ia juga mencerminkan pengiktirafan Malaysia atas kerjasama keselamatan marin, perlindungan alam sekitar, kebajikan dan hak pelaut.

 
Sumber Facebook wksbmenglish

"Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada semua negara anggota, rakan-rakan kongsi dan rakan sekerja dalam Perhimpunan IMO untuk mesyuarat yang berjaya dan berpandangan jauh ke hadapan.

"Sokongan dan kerjasama mereka dalam banyak perkara di bawah payung IMO akan memacu usaha Malaysia untuk membangunkan industri maritim dan berkaitan mengikut Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Malaysia turut meletakkan harapan sebagai Ahli Majlis yang bertanggungjawab dan komited untuk terus bekerjasama dengan IMO dan negara anggota bagi misi jangka panjang dalam mempromosikan pengangkutan selamat, terjamin, mesra alam, cekap dan mampan untuk semua negara dan komuniti seluruh dunia.

-- BERNAMA