Malaysia dipilih semula menduduki majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2016-2019, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ini menandakan penggal keempat berturut-turut Malaysia menduduki majlis ICAO sejak pertama kali dipilih pada 2007.

Malaysia adalah antara negara yang dipilih menduduki majlis tersebut semasa Perhimpunan Agung ICAO ke-39 di Montreal, Kanada pada Selasa.

"Semasa pemilihan, Malaysia diberi penghormatan untuk menerima 129 daripada 172 undi oleh negara anggota yang layak. Kita amat terharu dengan pengiktirafan ICAO atas sumbangan kita kepada badan global ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Liow berkata Malaysia tetap komited untuk memacu wawasan ICAO 'Tiada Negara Ditinggal di Belakang' dan 'Personel Penerbangan Generasi Seterusnya'.

"Kita akan terus memenuhi keperluan latihan bagi komuniti penerbangan global menerusi Program Kerjasama Teknikal kita," katanya.

Beliau berkata Malaysia sentiasa berusaha ke arah meningkatkan piawaian keselamatan bagi penerbangan awam global.

ICAO yang merupakan agensi khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan pada 1994 bagi mengurus Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa yang juga dikenali sebagai Konvensyen Chicago. -Bernama