MALAYSIA
Malaysia gesa reformasi segera PBB - Johari Abdul

Johari berkata ASEAN kekal komited terhadap matlamat dan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa institusi global, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera menjalani reformasi dengan mencadangkan tiga langkah konkrit, termasuk memperkasakan dialog berkala antara Kesatuan Antara Parlimen (IPU) dan Majlis Keselamatan PBB.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata inisiatif itu bertujuan memastikan suara parlimen didengari dalam perbincangan berkaitan keamanan dan keselamatan.
Berucap dalam sesi Debat Perdana Persidangan Speaker Sedunia Keenam di Palais des Nations, Pejabat PBB di Geneva, Johari turut mencadangkan supaya PBB menubuhkan mekanisme tindak balas pantas semasa krisis global, berdasarkan pengalaman dan pengajaran daripada pandemik COVID-19.
"Ketiga, kami mencadangkan garis panduan pengawasan Parlimen terhadap kecerdasan buatan serta teknologi baharu bagi memastikan akauntabiliti manusia terus dipelihara dalam dunia yang semakin maju," katanya dalam debat bertajuk "Dunia Yang Bergolak: Kerjasama Parlimen dan Multilateralisme Demi Keamanan, Keadilan dan Kemakmuran Untuk Semua, semalam.Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 berkata selaku tuan rumah perhimpunan agung pada September ini, Malaysia kekal komited memperkukuh institusi demokratik serta memacu pembangunan yang inklusif, adil dan mampan melalui perlaksanaan tindakan.
" ... kemakmuran untuk semua menuntut usaha merapatkan jurang antara kaya dan miskin, lelaki dan wanita, bandar dan luar bandar. Keadilan menuntut kita menghentikan sikap pilih kasih dalam konflik yang berlarutan, termasuk usaha menjamin hak rakyat Palestin untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
"Persidangan ini tidak sepatutnya sekadar menjadi medan berbicara. Ia perlu berperanan sebagai bengkel, ruang untuk membentuk idea yang diterjemahkan kepada tindakan. Dunia perlu tahu bahawa dalam kekacauan ini, para Ahli Parlimen perlu terus berganding bahu demi keamanan, keadilan dan kemakmuran untuk semua. Malaysia sedia memainkan peranannya," katanya.
Beliau berkata ASEAN kekal komited terhadap matlamat dan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB.
"Multilateralisme telah merintis kemajuan selama beberapa dekad dalam bidang perdagangan, hak asasi manusia dan pembasmian kemiskinan. Namun, ancaman yang berubah-ubah pada masa kini berisiko menghakis segala pencapaian yang telah dicapai selama ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami