Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Kes barang kemas dari Lubnan: Rosmah Mansor diarah bayar RM67.5 juta kepada Global Royalty

71738575601_RosmahMansor.jpg
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan 43 barangan kemas yang berlaku lapan tahun lalu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan 43 barangan kemas yang berlaku lapan tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Quay Chew Soon selepas mahkamah mendapati isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertanggungjawab terhadap kegagalan memulangkan koleksi barang kemas berkenaan kepada syarikat terbabit.

Dalam penghakiman yang disampaikan secara dalam talian, mahkamah memutuskan bahawa pihak plaintif berjaya membuktikan kes mereka dan berhak menerima ganti rugi seperti yang dituntut.

Hakim turut berpendapat, terdapat unsur kecuaian di pihak Rosmah kerana gagal memastikan semua barang kemas yang diterima dipulangkan kepada pemilik asalnya.

Sehubungan itu, Rosmah diarahkan menjelaskan bayaran RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL dalam tempoh sebulan bermula hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan beliau membayar kos guaman sebanyak RM150,000, dengan RM75,000 diberikan kepada plaintif manakala baki RM75,000 kepada pihak ketiga dalam prosiding tersebut.

Saman berkenaan berpunca daripada dakwaan bahawa 44 barang kemas mewah yang dihantar kepada Rosmah untuk tujuan tontonan dan penilaian tidak dikembalikan kepada syarikat berkenaan.

Pada Mac 2023, Global Royalty memfailkan tindakan undang-undang dengan mendakwa Rosmah memberi gambaran bahawa kesemua barang kemas itu telah dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia mengikut peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Barang kemas yang menjadi pertikaian itu merangkumi pelbagai aksesori mewah termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang serta sebuah tiara.

Bagaimanapun, syarikat yang berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan pihak berkuasa, manakala baki 43 lagi tidak pernah berada di bawah kawalan polis.

Menurut plaintif, keadaan itu menunjukkan kehilangan barang kemas terbabit tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada pihak berkuasa seperti yang didakwa oleh Rosmah.

Global Royalty turut berhujah bahawa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab terhadap kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia walaupun barangan berkenaan didakwa telah hilang.

Dalam prosiding sama, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia dinamakan sebagai pihak ketiga susulan dakwaan bahawa barang kemas itu mungkin berkaitan dengan operasi penguatkuasaan yang dijalankan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Rosmah bagaimanapun mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas itu kerana mendakwa kesemuanya hilang selepas beberapa siri serbuan polis dilakukan di Pavilion Residences pada Mei 2018, ketika siasatan berkaitan skandal 1MDB sedang dijalankan.

Must Watch Video