Malaysia berharap untuk menghantar balik lebih 100 rakyat Filipina bersenjata api yang menceroboh Lahad Datu, Sabah, Selasa lepas, dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammudin Hussein berkata beliau berharap proses pengusiran rakyat Filipina itu akan berlaku tanpa sebarang pertumpahan darah atau pengorbanan jiwa mana-mana pihak.

“Kami kini dalam proses membincangkan menghantar mereka yang terlibat balik ke negara asal,” kata beliau di dalam suatu siding media di sini hari ini.

Namun demikian, Hishammudin enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai perbincangan itu.

“Itu bukan tempat saya untuk berkomen. Kita tunggu maklumat dan perkembangan lanjut dari ketua polis Sabah,” katanya.

Hishammudin juga mengesahkan bahawa kumpulan itu bukan kumpulan pengganas.

“Pagi ini saya telah berbincang dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan kami juga sedang menghubungi secara terperinci degan kerajaan Filipina.

“Kedua-dua pihak serta sumber-sumber risikan saya memaklumkan bahawa kumpulan ini bukan kumpulan militan atau pengganas. Mereka merupakan penyokong kepada Kesultanan Sulu,” kata beliau.

Sementara itu, Hishammudin mengutuk perbuatan sesetangah pihak termasuk media luar negara yang suka memperbesar-besarkan isu ini.

“Adalah sangat tidak adil dan tidak bertanggungjawab tindakan sesetangah pihak termasuk pihak media antarabangsa yang suka membuat spekulasi dan penuduhan.

“Sebab itu saya ingin tekankan di sini bahawa tuduhan-tuduhan melulu tentang keselamatan di Sabah tidak benar. Kerajaan daripada awal lagi tidak berkompromi dengan hak keselamatan Sabah dan rakyat Sabah.

“Tidak ada sekalipun di mana keselamatan orang ramai di Sabah terjejas. Kejadian ini hanya berlaku tiga hari. Kita akan tunggu dan lihat perkembangan.

“Apa-apa pun, semua yang berlaku setakat ini adalah dalam keadaan terkawal dan dalam lingkungan kuasa pihak yang terlibat,” kata beliau.

Pada Februari 13, pasukan keselamatan negara mengepung sekumpulan warga asing bersenjata yang berpakaian seragam tentera yang mencerobohi perairan Lahad Datu.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata kumpulan itu ingin dikenali sebagai ‘Tentera Diraja Kesultanan Sulu.”