KUALA LUMPUR: Malaysia disaran menyertai Open Government Partnership (OGP) dalam mempertingkatkan hubungan antara organisasi masyarakat sivil seperti Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sukarelawan dengan Kerajaan.

Ia dilihat sebagai langkah dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat di dalam negara termasuk bencana alam yang berlaku ketika ini dalam mengukuhkan tadbir urus negara.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia Datuk Seri Akhbar Satar berkata, perkara itu juga dapat mengukuhkan peranan sivil, organisasi masyarakat, sekaligus menggalakkan komitmen yang lebih erat dengan Kerajaan bagi membentuk cara kerja yang lebih inovatif, telus dan terbuka.

“OGP merupakan satu entiti di mana kerajaan (mana-mana negara) mementingkan masyarakat sivil maknanya dalam segala partisipasi, idea dan perancangan yang nak dilakukan akan melibatkan wakil masyarakat awam dengan lebih rancak dan lebih tersusun.

“Apa yang berlaku ketika ini, kita tak pasti dan hanya agak-agak yang membawa kepada penglibatan NGO yang mungkin tidak berwibawa dan tidak relevan kepada sesuatu isu seterusnya memberi impak yang tidak baik,” katanya. 

Jelasnya, OGP yang dipelopori oleh lapan negara iaitu Brazil, Indonesia, Mexico, Norway, Filipina, Afrika Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat sejak 2011 bertujuan membangunkan inisiatif yang menggalakkan ketelusan termasuk memperkasakan rakyat, memerangi rasuah dan memanfaatkan teknologi baharu untuk mengukuhkan tadbir urus.

Akhbar berkata, penglibatan Indonesia sebagai perintis OGP adalah susulan warganya menuntut keterbukaan sebagai asas kepada pemerintahan moden, telus, bertanggungjawab dan melibatkan rakyat.

“Indonesia boleh dikatakan Presidennya sendiri telah memberikan perhatian yang begitu berat terhadap OGP ini yang mana ia telah memberi kesan yang begitu bagus dalam menyelesaikan masalah-masalah di negara itu dengan mendapatkan idea-idea daripada NGO dan wakil masyarakat sivil bersama Kerajaan yang tentu memberi manfaat kepada rakyat yang akhirnya tujuan utamanya adalah untuk keselesaan rakyat,” katanya.

Justeru, Akhbar menyeru agar Kerajaan menukar cara berfikir dengan melihat penyertaan di OGP sebagai asas meletakkan kepercayaan kepada penglibatan NGO dan masyarakat sivil dalam urus tadbir negara.

“Sukar sekiranya kerajaan masih lagi tak percaya kepada NGO dan masih nak melakukan sendiri, memberi idea-idea sendiri dengan mengenepikan NGO, 

“Jangan pandang rendah kepada NGO, mereka juga berwibawa dan mempunyai idea-idea yang bagus membantu Kerajaan, sudah tentu memberi manfaat kepada negara,

“Mindset Kerajaan harus ditukar dan peluang harus diberikan kepada NGO untuk membantu kerajaan supaya manfaatnya dapat dirasai rakyat seterusnya mendapat sokongan rakyat itu sendiri,” jelasnya lagi.

Sejak penubuhannya pada 2011, OGP kini telah melaksanakan lebih 2,500 komitmen yang dibuat oleh 79 negara yang mengambil bahagian, meliputi satu pertiga daripada penduduk dunia.

Proses OGP memerlukan kerajaan untuk berunding dengan wakil masyarakat sivil seperti NGO, ahli akademik, organisasi gerakan, serta sektor swasta dan Mekanisme Pelaporan Bebas (IRM) akan menilai kualiti perundingan ini.



Tragedi Banjir | Benarkah rakyat semakin hilang percaya kepada kerajaan?