Malaysia mengiktiraf kemajuan ketara yang dicapai dalam bidang kerjasama industri pertahanan Perancis, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menyifatkan Perancis sebagai rakan Eropah yang rapat dengan Malaysia dalam bidang pertahanan, katanya, kedua-dua negara ini akan memperkukuhkan pertukaran maklumat perisikan dalam memerangi ancaman kumpulan militan Daish.

Dalam kenyataan pada akhir lawatan kerja dua hari ke Perancis, beliau berkata: "Berhubung Kumpulan Kerja Industri Pertahanan, Perancis telah komited dalam banyak program dalam membangunkan pasukan Angkatan Tentera Malaysia.

"Pada masa ini, kami bekerjasama dalam membina Kapal Littoral Combat (LCS), memasang pulih kapal selam kita, menganalisis program ofset bagi pesawat Airbus A400M dan helikopter EC-725.

"Selepas itu, dalam Kumpulan Kerja Pendidikan dan Latihan, kami membincangkan beberapa kurus yang diperkenalkan oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dengan kerjasama institut Perancis," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat ketiga Jawatankuasa Bersama Strategi Tinggi Pertahanan Malaysia-Perancis di Paris.

Hishammuddin berkata mesyuarat tersebut menekankan tahap komitmen oleh kedua-dua kerajaan dalam memastikan kejayaan kerjasama strategi dalam bidang pertahanan.

"Kami bincang banyak isu-isu mengenai kepentingan operasi dan kerjasama strategik demi kepentingan bersama," katanya.

Menurutnya, mesyuarat tersebut juga menyentuh mengenai kebimbingan landskap keselamatan global dan akan memperkukuhkan pertukaran maklumat dan perkongsian perisikan dalam usaha memerangi ancaman Daish dan pelampau yang pulang ke negara asal selepas kehilangan wilayah mereka di Iraq dan Syria.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Hishammuddin dan rakan sejawatannya, Jean-Yves Le Drian.