NEW DELHI: Pegawai dari kementerian pertahanan India dan Malaysia membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang semasa mesyuarat mereka di New Delhi.

Timbalan ketua setiausaha dasar Kementerian Pertahanan Malaysia Mohd Yani Daud bersama setiausaha pertahanan India Giridhar Aramane pada Selasa mempengerusikan mesyuarat ke-12 di bawah rangka kerja Mesyuarat Kerjasama Pertahanan Malaysia-India (MIDCOM) sedia ada.

"Kedua-dua pihak menilai kerjasama pertahanan sedia ada dan mengadakan perbincangan meluas mengenai isu yang menjadi kepentingan bersama termasuk isu serantau.

"Kedua-dua pihak turut meneroka inisiatif yang berkesan dan praktikal bagi mengembangkan lagi penglibatan pertahanan dua hala," menurut Kementerian Pertahanan India dalam satu kenyataan.

Mereka juga bersetuju untuk menubuhkan kumpulan kerja hal ehwal strategik (SAWG) bagi merangka mekanisme perundingan untuk mengendalikan semua aspek kerjasama pertahanan dua hala.

Setiausaha pertahanan India berkongsi cadangan lapan perkara dengan pihak Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama dua hala dalam bidang seperti penglibatan peringkat kerajaan, kerjasama tri-service, latihan, pengaman PBB, penglibatan perkhidmatan dua hala, kerjasama industri pertahanan, penyelidikan dan pembangunan, serta penglibatan di peringkat serantau.

Mesyuarat terakhir seumpama itu diadakan pada 2018 ekoran penularan COVID-19 selama empat tahun.

Delegasi Malaysia juga berinteraksi dengan pegawai Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) serta mengenal pasti bidang kepentingan bersama.

Pada Isnin, mesyuarat ke-10 Jawatankuasa Kecil Bersama India-Malaysia mengenai Kerjasama Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan dipengerusikan bersama oleh Rajeev Prakash, setiausaha bersama di Kementerian Pertahanan India, dan Eris Jemadi Tajudin, setiausaha bahagian, bahagian industri pertahanan di Kementerian Pertahanan Malaysia.

Dalam pertemuan ini, penyelidikan pertahanan dan kerjasama industri sedia ada antara kedua-dua negara telah dikaji dan perbincangan mengenai pelbagai topik lain turut diadakan.

-- BERNAMA