Malaysia-India perkukuh CSP, dalami kerjasama semikonduktor, pendidikan

Anwar berkata, pertemuan dua hala dan pertukaran dokumen kerjasama yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana pada Ahad, disifatkan sebagai strategik dan kritikal. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Malaysia dan India sepakat untuk memperhebat pelaksanaan Perkongsian Strategik Komprehensif CSP) yang dimeterai pada 2024, dengan tumpuan kepada agenda kerjasama menyeluruh merentas sektor berimpak tinggi, daripada semikonduktor dan ekonomi digital, sehinggalah pendidikan, TVET, kesihatan, keselamatan dan pelancongan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dua hala dan pertukaran dokumen kerjasama yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana pada Ahad, disifatkan sebagai strategik dan kritikal, dalam usaha melonjakkan lagi hubungan Kuala Lumpur-New Delhi, yang telah terjalin sejak 1957 dan kini memasuki fasa CSP.
“Kita juga telah menyaksikan pertukaran 11 dokumen termasuk MoU dan surat-surat berkaitan yang melangkaui susunan dua hala lazim, kerana ia turut merangkumi kerjasama dalam misi pengaman, semikonduktor, kesihatan dan keselamatan… dan perdagangan, sudah tentu, perlu diperluas lagi.
“India sedang berkembang pesat dengan kemunculan yang begitu memberangsangkan di pentas ekonomi dan perdagangan antarabangsa. Oleh itu, Malaysia dalam konteks ASEAN pasti akan mendapat manfaat besar sekiranya kita dapat meneroka lebih banyak cara dan peluang untuk bekerjasama dengan India, melebihi nilai dagangan berjumlah US$18.59 bilion yang dicapai pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sempena sidang media khas bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi di sini pada Ahad.
Terdahulu, Modi, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula semalam, menghadiri pertemuan peribadi bersama Anwar, sebelum disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin dan delegasi, serta majlis pertukaran 11 dokumen strategik.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama Malaysia-India kedua-dua pemimpin turut menegaskan bahawa perbincangan mereka berlangsung dalam suasana yang mesra, meliputi spektrum penuh kerjasama dua hala.
Bagi menterjemah komitmen politik kepada tindakan, kedua-dua kerajaan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen dua hala yang bertujuan mengukuhkan kerjasama institusi merangkumi pengurusan bencana, pencegahan rasuah, produksi audio visual, kerjasama pengaman PBB serta pertukaran nota dalam bidang semikonduktor, kesihatan, keselamatan negara dan TVET, selain penglibatan dalam inisiatif pemuliharaan International Big Cats Alliance (IBCA).
Di bawah kerangka lebih besar CSP, Malaysia dan India juga menekankan kepentingan memperkasa platform sedia ada seperti Malaysia-India Comprehensive Economic Cooperation Agreement (MICECA) dan ASEAN-India Trade in Goods Agreement (AITIGA), termasuk mempercepat semakan perjanjian AITIGA agar lebih relevan dengan amalan perdagangan semasa dan keperluan rantaian bekalan global.
Antara tumpuan utama ialah sektor bernilai tinggi yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan baharu.
Dalam aspek semikonduktor, kedua-dua negara menyatakan hasrat memperkukuh sinergi untuk mengukuhkan rantaian nilai semikonduktor, termasuk pembangunan bakat dan kestabilan rantaian bekalan.
Bagi ekonomi digital pula, kedua-dua pemimpin menyambut baik pemformalan Malaysia-India Digital Council (MIDC) sebagai platform strategik untuk memperluas kerjasama fintech, e-governance, keselamatan siber, AI serta infrastruktur digital.
Dalam sektor tenaga, kedua-dua pihak turut mengambil maklum penglibatan syarikat Malaysia dalam landskap tenaga boleh baharu dan hidrogen hijau di India, di samping potensi besar kolaborasi rentas tenaga bersih seiring aspirasi net-zero.
Dalam pada itu Anwar menegaskan pendidikan kekal penting, termasuk memperluas peluang pertukaran pelajar dan pengiktirafan pusat kecemerlangan pendidikan, selain memperkukuh agenda pembangunan kemahiran melalui TVET.
Dalam hal pelancongan dan keterhubungan, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen memperdalam kerjasama untuk meningkatkan aliran pelawat dua hala, seiring liberalisasi visa dan usaha menambah baik jaringan penerbangan yang menyokong permintaan pelancongan, perdagangan dan hubungan rakyat-ke-rakyat.
Dalam konteks ekonomi, kedua-dua pemimpin menyambut baik prestasi hubungan perdagangan yang kukuh, dengan jumlah dagangan dua hala direkodkan mencecah US$18.59 bilion pada 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


