Hakim syarie diseru tingkat inovasi, percepat penyelesaian kes - Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis. - Gambar/ MAIPs
KUALA PERLIS: Hakim-hakim syarie disaran lebih proaktif meneroka serta mencipta inovasi baharu bagi mempercepatkan penyelesaian kes di Mahkamah Syariah tanpa menjejaskan kerangka undang-undang dan tatacara kehakiman sedia ada.
Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha inovasi itu penting bagi memastikan keadilan dapat disampaikan secara lebih cepat, berkesan dan mesra umat, selari dengan keperluan semasa masyarakat.
Baginda bertitah, Mahkamah Syariah juga perlu menyediakan mekanisme yang jelas, mudah diakses serta efisien bagi membolehkan orang awam menyelesaikan kes, khususnya perkara yang tidak rumit dan boleh diselesaikan melalui pendekatan alternatif.
Dalam masa sama, hakim-hakim syarie, titah baginda, perlu sentiasa bersedia dari segi ilmu, kemahiran dan sikap keterbukaan terhadap pembaharuan, seiring tuntutan semasa serta harapan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran MAIPs yang berlangsung di Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis baru-baru ini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program tersebut bertujuan menyemai kesedaran serta memperkukuh penghayatan nilai Islam dalam kalangan masyarakat, selaras usaha berterusan MAIPs membimbing umat ke arah pembentukan akhlak dan pemikiran seimbang berteraskan syariat.
Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Tuanku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 asnaf terpilih.
Agihan itu melibatkan masing-masing 75 penerima daripada kariah Masjid Al-Hussain, Seriab, Titi Tok Bandar dan Tok Kaya, sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan serta memperkukuh kesejahteraan hidup komuniti setempat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


