JAKARTA: Malaysia dan Indonesia akan meneruskan kerjasama penyelidikan melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT) dan penyelidik kedua-dua negara, antara lain dalam bidang keselamatan makanan, ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata ini antara perkara dibincangkan dalam pertemuan bersama rakan sejawatnya Prof Brian Yuliarto di sini, pada Ahad.
Advertisement
“Kita telah bersetuju pada dasarnya untuk membina kluster bagi bidang itu dengan mengenal pasti pakar dari Malaysia dan Indonesia untuk bekerjasama bagi membangunkan bidang yang dikenal pasti.
“Kerana kita mempunyai kepakaran daripada kedua-dua negara yang tidak seharusnya kita pencilkan ataupun kita membiarkan kepakaran itu berada di tempat yang lain,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan.
Zambry yang tiba di Jakarta pada Sabtu bagi mengadakan lawatan dua hari di ibu negara Indonesia berkata kerjasama itu akan melibatkan beberapa IPT di kedua-dua negara yang telah dikenal pasti, selain pakar penyelidik di bawah Konsortium Akademik Malaysia-Indonesia (KAMI).
“Kita sudah pun memulakan perbincangan awal iaitu wakil daripada Education Malaysia sudah pun memulakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di sini.
“Hasilnya, kita akan serahkan kepada pihak pendidikan, tim yang ada daripada kedua-dua negara. Kita tidak ada jarak masa buat masa ini kerana dari segi penelitiannya itu akan dikenal pasti,” katanya.
Terdahulu, Zambry turut mengadakan lawatan ke Institut Pertanian Bogor dan bertemu pelajar Malaysia serta mengenal pasti bidang berkaitan sektor pertanian dan keselamatan makanan yang boleh dibangunkan secara bersama.
-- BERNAMA