KUALA LUMPUR: Pihak polis akan menjalankan penelitian menyeluruh terhadap keseluruhan Himpunan Aman #TangkapAzamBaki yang berlangsung di ibu negara pada Ahad, walaupun perhimpunan itu berakhir secara aman.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata proses semakan dilakukan melalui risikan dan pemerhatian dari awal hingga tamat himpunan bagi memastikan tiada isu yang menyentuh sensitiviti berkaitan perkauman, agama, dan institusi diraja (3R).
Advertisement
“Walaupun perhimpunan berjalan lancar, polis akan meneliti setiap aspek bagi memastikan tiada kandungan yang menimbulkan masalah berkenaan 3R. Sekiranya terdapat sebarang isu, tindakan segera akan diambil termasuk membuka siasatan lanjut,” kata beliau pada sidang media di Dataran Merdeka pada Ahad.
Beliau menegaskan bahawa perhimpunan berjalan tanpa sebarang kejadian yang menjejaskan ketenteraman awam dan pihak polis amat menghargai kerjasama penganjur serta orang ramai yang mematuhi arahan pihak berkuasa.
Perhimpunan bermula kira-kira pukul 4 petang di kawasan pusat beli-belah Sogo sebelum bergerak perlahan ke Dataran Merdeka, dan berakhir sekitar pukul 6.30 petang dengan pemantauan rapi daripada pihak polis.
“Anggaran kehadiran lebih kurang 200 orang termasuk penganjur dan penceramah. Sebanyak 600 anggota polis dikerahkan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perhimpunan,” katanya.
Beliau berkata, anggota yang terlibat termasuk daripada IPD Dang Wangi, IPK Kuala Lumpur, serta bantuan daripada kawasan berhampiran, bagi memastikan pemantauan menyeluruh sepanjang perhimpunan.
Himpunan berkanaan dianjurkan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki dengan tujuan menyuarakan beberapa tuntutan berkaitan isu rasuah dan kebertanggungjawaban institusi penguat kuasa.
Peserta membawa pelbagai sepanduk menuntut tindakan tertentu, manakala beberapa ucapan disampaikan sepanjang acara berlangsung sebelum himpunan berakhir tanpa insiden.
Katanya, polis akan terus memantau sebarang aktiviti berkaitan dan memastikan setiap langkah keselamatan diambil demi mengekalkan ketenteraman awam.
“Kerjasama daripada penganjur dan masyarakat amat penting. Ini membolehkan perhimpunan berjalan dengan aman tanpa mengganggu keamanan bandar dan masyarakat sekitar,” katanya.