Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Indonesia setuju perbaharui MoU Tenaga 1997 - Fadillah

FB Fadillah Yusof
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sedang dalam rangka lawatan kerja ke Indonesia bagi memperkukuh kolaborasi strategik sektor tenaga antara kedua-dua negara. - Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang tenaga yang telah ditandatangani pada 1997.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama Menteri Energi dan Sumber Daya Mineral Indonesia Bahlil Lahadalia hari ini.

Advertisement

Fadilllah berkata pertemuan tersebut turut membincangkan strategi pengukuhan kerjasama dua hala khususnya melibatkan aspek pelaksanaan, penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan serta potensi pelaburan strategik. 

"Hasil perbincangan ini akan diterjemahkan kepada tindakan susulan antara kedua-kedua negara sebagai usaha merancakkan lagi industri dan sektor tenaga negara di rantau ASEAN," katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sedang dalam rangka lawatan kerja ke Indonesia bagi memperkukuh kolaborasi strategik sektor tenaga antara kedua-dua negara.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri Utiliti (Hal Ehwal Sarawak Energy dan PETROS) Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Mareena Mahpudz.

-- BERNAMA

Must Watch Video