NATIONAL
Malaysia, Itali rintis kerjasama pertahanan strategik - Khaled Nordin

Mohamed Khaled berkata beliau telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto di Berlin semalam. - Gambar/ Bernama
BERLIN: Malaysia dan Itali bersetuju merintis satu bentuk kerjasama strategik dalam bidang pertahanan, termasuk cadangan memeterai memorandum persefahaman (MoU) perolehan aset antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Ringkasan AI
- Malaysia dan Itali bersetuju untuk merintis kerjasama strategik dalam bidang pertahanan, termasuk cadangan memeterai memorandum persefahaman (MoU) perolehan aset antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
- Malaysia menyambut baik hasrat Itali untuk meningkatkan hubungan pertahanan, termasuk pemindahan teknologi yang memberi manfaat kepada pembangunan industri pertahanan tempatan.
- Perolehan aset secara G2G dianggap lebih telus, menjimatkan, dan memberi jaminan lebih kukuh, mengelakkan campur tangan pihak ketiga dan memastikan pemindahan teknologi yang berkesan.
"Malaysia menyambut baik hasrat Itali itu dan melihat ia sebagai peluang meningkatkan hubungan pertahanan, bukan hanya dari sudut perolehan aset, tetapi kerjasama strategik termasuk pemindahan teknologi yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan industri pertahanan tempatan," katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata Malaysia telah membuat beberapa perolehan aset ketenteraan dari Itali sebelum ini dan kini mahu memanfaatkan hubungan itu untuk membuka jalan ke arah kolaborasi yang lebih bermakna, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan tempatan.
"Kita mahu setiap perolehan disertai dengan pemindahan teknologi yang berkesan, bukan sekadar simbolik. Ini penting bagi memastikan kita tidak sekadar menjadi pengguna, tetapi mampu membangunkan industri pertahanan sendiri," katanya.
Mohamed Khaled berkata Itali turut menyatakan minat menjalin perolehan secara G2G yang terbukti lebih telus, menjimatkan dan memberi jaminan lebih kukuh kepada negara.
Beliau berkata perolehan secara G2G itu membolehkan negara mengelak campur tangan pihak ketiga, selain kerajaan yang menjadi pembekal boleh memberi jaminan terus sekiranya berlaku kelewatan atau kegagalan penghantaran aset.
Sebagai perbandingan, Mohamed Khaled berkata Malaysia kini sudah mempunyai perjanjian perolehan seumpamanya dengan Turkiye dan sedang menimbangkan kerjasama serupa dengan Korea Selatan.
"Sebab itu kita meneliti setiap cadangan secara teliti dan menilai keikhlasan negara rakan, bukan hanya dari segi harga, tetapi juga kesediaan mereka berkongsi teknologi dan membina kerjasama jangka panjang," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa objektif utama Malaysia adalah untuk memastikan setiap bentuk kerjasama mampu menyumbang kepada pembangunan dan pemerkasaan industri pertahanan negara dalam jangka masa panjang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami