KUALA LUMPUR: Pengaplikasian teknologi kecerdasan buatan atau AI, kini merentasi pelbagai bidang selain mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat, asal saja seseorang itu celik teknologi maklumat (IT).
Merupakan satu daripada cabang sains komputer, AI yang dibangunkan bagi mengupayakan mesin atau sistem komputer membuat penaakulan dan berfikir seperti manusia, menawarkan manfaat yang begitu besar, khususnya bagi meningkatkan lagi kecekapan dalam operasi harian manusia.
Namun pada masa sama, potensi AI juga menarik perhatian pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan teknologi itu bagi melakukan jenayah.
Kelebihan AI yang mampu meniru ciri-ciri manusia seperti rupa, tubuh serta suara menjadikan teknologi ini “senjata” yang hampir-hampir sempurna dalam jenayah penipuan.
MENYAMAR GUNA AI
Sekalipun Malaysia belum merekodkan kes jenayah membabitkan AI, insiden sedemikian dilaporkan banyak berlaku di luar negara.
Di China misalnya, seorang ahli perniagaan nyaris-nyaris kerugian 4.3 juta yuan setelah diperdaya oleh penjenayah yang menggunakan teknolgi AI untuk menyamar sebagai rakan baik lelaki itu.
Dilaporkan ahli perniagaan dikenali sebagai Guo itu menerima menerima panggilan video daripada “rakan baiknya” memujuk dia agar memindahkan wang tersebut.
Bagaimanapun Guo bernasib baik kerana dia menerima mesej daripada rakannya itu yang memaklumkan identitinya telah dicuri, sebelum Guo sempat melakukan pemindahan wang berkenaan.
Kes seakan sama turut dilaporkan di Amerika Syarikat (AS), apabila penjenayah menghubungi keluarga seorang kanak-kanak perempuan, menyatakan anak mereka telah diculik dan perlu membayar wang tebusan.
Bagi meyakinkan keluarga mangsa, penjenayah menggunakan teknologi AI untuk meniru suara kanak-kanak tersebut.
Kes berkenaan menggemparkan pihak berkuasa AS kerana suara yang diklon menggunakan AI itu amat meyakinkan.
CABARAN YANG SUKAR DIDEPANI
Mengulas tentang kes berkenaan, Felow Penyelidik di Pusat Sains Data, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ts. Syahrul Nizam Junaini berkata Malaysia juga tidak akan terkecuali daripada berdepan dengan jenayah sedemikian, seiring dengan perkembangan penggunaan teknologi AI di negara ini.
“Kecanggihan teknologi ini akan memungkinkan pelaku jenayah siber melakukan penskaman (scamming), penipuan kewangan serta membolehkan mereka mencuri identiti mangsa apabila data peribadi kita berada dalam simpanan awan, dan mereka ini menyasarkan mangsa berdasarkan maklumat (mangsa) di media sosial,” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, AI yang digunakan dalam penipuan juga biasanya melibatkan perisian yang canggih berkeupayaan menganalisis dan mereplikasi ciri-ciri visual dan audio seseorang.
“Teknologi ini boleh meniru pola suara, gaya pertuturan, intonasi bahkan ekspresi wajah sehingga kita sukar membezakan antara yang sebenar dengan palsu,” katanya, menambah antara contoh perisian AI ialah deepfake yang berkemampuan menghasilkan video palsu dengan rupa bentuk dan suara sebenar seseorang.
Kecanggihan teknologi itu kata beliau akan mendatangkan cabaran besar kepada agensi penguat kuasa dalam menangani jenayah, khususnya penskaman dalam talian dan jenayah kewangan lain.
“Penggunaan teknologi AI untuk melakukan jenayah menuntut kepakaran khusus pihak berkuasa, terutamanya dalam bidang forensik digital, kerana bukti bagi kes penipuan sebegini berbentuk digital.
“Justeru, pemahaman dan ilmu tentang AI adalah penting bagi kita mengumpul dan menganalisis bukti,” kata beliau.
PERBANYAK PAKAR IT
Mengulas lanjut, Syahrul Nizam berkata bagi memastikan negara bersedia menghadapi ancaman terbaharu jenayah siber itu, pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), perlu memperbanyak pakar IT dalam pasukan.
Selain itu kata beliau, PDRM juga perlu pastikan kepakaran pegawai sedia ada sentiasa dipertingkat seiring perkembangan teknologi.
“Hantar pegawai sedia ada ikuti program di luar negara selain bekerjasama dengan Polis Antarabangsa untuk menimba pengetahuan bagaimana mereka menyelesaikan kes AI termasuk deepfake,” saran beliau.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dalam kenyataannya kepada Bernama, turut menjangkakan laporan polis tentang jenayah membabitkan teknologi AI akan meningkat susulan penggunaan AI yang semakin meluas di Malaysia.
Malah, beliau turut mengaku AI akan memberi cabaran besar kepada JSJK serta perlunya teknologi penyiasatan pasukan itu dipertingkat selari peredaran zaman.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan media turut melihat teknologi AI sebagai antara ‘alat baharu’ yang akan digunakan penipu dalam talian pada masa depan.
TINGKATKAN KESELAMATAN SIBER
Pandangan senada disuarakan oleh pensyarah kanan di Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Dr Noor Zuraidin Mohd Safar yang menyarankan kerjasama menyeluruh dilakukan oleh pihak berkepentingan sebagai langkah pencegahan awal jenayah AI.
“Teknologi AI akan sentiasa berubah dan Malaysia harus bersedia untuk ini. Pihak berkepentingan termasuk PDRM, CyberSecurity dan BNM perlu ada kepakaran dalam teknologi AI dengan memberi penekanan kepada e-dagang dan e-perbankan,” katanya kepada Bernama.
Pada masa sama, beliau berkata pihak berkepentingan harus memanfaatkan teknologi AI untuk mencegah jenayah.
“AI ini juga berkeupayaan sebagai alat pencegahan kerana mampu mengenal pasti data yang mencurigakan. Oleh itu, bangunkan sistem yang mengupayakan agensi penguat kuasa mengesan aktiviti yang dirasakan cenderung atau berdepan risiko penipuan,” katanya.
Untuk itu, beliau berkata kerajaan perlu bersedia untuk berbelanja bagi membangunkan sistem keselamatan siber yang yang terjamin.
PINDA AKTA
Mengulas lanjut, Noor Zuraidin berkata undang-undang sedia ada berkaitan teknologi dan jenayah juga perlu dipinda agar seiring perkembangan semasa.
Melihat akta sedia kurang “sengat” bagi menangani jenayah membabitkan AI, beliau berkata penambahbaikan perlu dilakukan terutama dari segi perlindungan data peribadi serta penyalahgunaan teknologi AI.
“Bagi saya ini penting dalam memastikan masyarakat dilindungi daripada mereka yang menyalahgunakan teknologi ini dan menjamin keadilan buat mangsa yang telah diperdaya menggunakan teknologi AI,” kata beliau.
Noor Zuraidin turut menyarankan agar pihak berkepentingan bekerjasama dengan pakar industri bagi mengekang kebocoran data peribadi ahli masyarakat.
Berkongsi tip bagi mengelakkan terperdaya dengan jenayah AI, beliau berkata antara yang boleh dilakukan oleh orang ramai ialah memastikan pihak yang menghubungi mereka adalah pihak yang sah.
“Pastikan identiti pemanggil, tanya maklumat seperti nombor staf, talian tetap, alamat dan sebagainya. Terutamanya jika si pemanggil berkata mereka daripada bank. Jika sangsi, tamatkan panggilan.
“Paling penting ialah tanamkan sikap skeptikal semasa membuat pengesahan maklumat yang diberikan oleh si pemanggil,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan ahli masyarakat agar menggunakan kod peribadi yang di luar kotak bagi menyukarkan penjenayah meneka kod berkenaan dan melakukan pencerobohan akaun penting.
“Pada masa sama, pihak berwajib juga perlu sentiasa memberi pendedahan tentang jenayah kewangan menggunakan AI ini secara berterusan kepada masyarakat agar mereka lebih peka,” kata beliau.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Feb 05 2024
Kelebihan AI yang mampu meniru ciri-ciri manusia seperti rupa, tubuh serta suara menjadikan teknologi ini 'senjata' yang hampir-hampir sempurna dalam jenayah penipuan. - Gambar hiasan
Kelantan cadang adakan pakej umrah menerusi penerbangan terus dari LTSIP
Cadangan itu bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat Kelantan, malah penduduk Terengganu dan empat wilayah di Selatan Thailand.
Rapid Bus, Volvo meterai MoU operasi percubaan bas elektrik
Rapid Bus Sdn Bhd dan Volvo Buses Malaysia menandatangani MoU pelaksanaan operasi percubaan bas elektrik baharu Volvo BZL-GML Eco Range.
Kerajaan mulakan usaha penggubalan Akta Keupayaan Mental
Kerajaan menerusi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah memulakan langkah ke arah penggubalan Akta Keupayaan Mental.
Warga Australia dipindahkan, lega pulang ke tanah air
Warga Australia yang dipindahkan dari New Caledonia yang mengalami rusuhan maut selama seminggu. memberitahu media tempatan mereka lega sebaik sahaja kembali ke tanah air pada Selasa.
Menteri ada rekod jenayah letak jawatan
Seorang Menteri Thailand, Pichit Chuenban, pada Selasa meletakkan jawatan selepas tertakluk kepada aduan undang-undang daripada senator yang boleh membawa kepada pemecatan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin atas pelantikannya.
Keranda bawa jenazah Raisi tiba di Tehran
Pegawai dan tokoh agama Iran menerima keranda Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan beberapa individu lain di Tehran, dalam satu majlis pada Selasa.
PMX ke Jepun bermula Rabu, pertama kali sertai Persidangan Nikkei sebagai Perdana Menteri
Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, PM Anwar menyertai persidangan tersebut atas jemputan Nikkei Inc. dan ia merupakan penyertaan pertama beliau sebagai Perdana Menteri.
Beri tumpuan kepada pelaburan dalam negeri - Dr Jomo
Kerajaan perlu memberi galakkan kepada pelaburan dalam negeri dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Mat Sabu wakili Malaysia ke Iran, hadiri pengebumian Presiden Raisi
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan ke Iran bagi mewakili Malaysia untuk menghadiri pengebumian Presiden Iran, Almarhum Ebrahim Raisi.
Tumpuan Rabu – 22 Mei 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Malaysia juga berdepan risiko jenayah AI - Pakar
AI itu membuat penaakulan dan berfikir seperti manusia, menawarkan manfaat yang begitu besar, khususnya bagi meningkatkan lagi kecekapan.