MALAYSIA
Malaysia kecam rancangan rejim Zionis Israel ambil alih Gaza sepenuhnya

Kementerian Luar berkata langkah yang dirancang dan tidak berhati perut itu bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, malah memperlekeh prinsip asas hak asasi manusia dan keadilan. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaharu rejim Zionis Israel untuk melancarkan pengambilalihan sepenuhnya Semenanjung Gaza secara ketenteraan, sambil menyeru semua negara menolak secara mutlak dasar aparteid Israel.
Ringkasan AI
- Malaysia mengecam keras tindakan Israel yang mahu mengambil alih Gaza sepenuhnya secara ketenteraan dan menyeru penolakan terhadap dasar aparteid Israel.
- Kementerian Luar menyifatkan tindakan Israel melanggar undang-undang antarabangsa dan menafikan hak rakyat Palestin.
- Malaysia mendesak semua negara menyokong Palestin, melaksanakan gencatan senjata, dan mengiktiraf Palestin dengan sempadan pra-1967 dan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Sekiranya Israel terus dibenarkan bertindak sewenang-wenangnya, segala proses damai akan terkubur dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri akan sekali lagi dinafikan.
Malaysia menyeru semua negara agar menolak secara tegas dasar aparteid Israel dan mengambil tindakan segera serta konkrit untuk mengiktiraf negara Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.
"Malaysia juga menggesa semua negara untuk memastikan pelaksanaan gencatan senjata kekal, pengunduran sepenuhnya pasukan rejim Zionis Israel dari Gaza, penamatan segera semua sekatan terhadap akses bantuan kemanusiaan, serta memastikan kemasukan bantuan tanpa halangan dan keanggotaan penuh Negara Palestin sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin, bukan sahaja melalui kenyataan tegas di pentas antarabangsa, malah dengan bekerjasama rapat bersama pemimpin serantau dan global.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami