KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mengekalkan kerusi dalam pemilihan semula Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III untuk penggal 2022 hingga 2025 dalam pemilihan semasa Perhimpunan Agung ICAO di Montreal, Kanada, pada Selasa.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, ini menjadikan Malaysia kekal sebagai ahli Majlis ICAO untuk enam penggal berturut-turut sejak tahun 2007 dengan memperoleh 136 undi.

Kata Ka Siong, secara keseluruhan, Malaysia telah mengadakan sebanyak 44 mesyuarat dua hala dengan ketua delegasi dari pelbagai negara termasuk kumpulan serantau.

"Pada asalnya, sebanyak 15 negara telah menyatakan hasrat untuk bertanding merebut 13 kerusi Ahli Majlis ICAO yang dipertandingkan bagi Kategori III di mana Malaysia telah menghadapi persaingan sengit daripada negara-negara yang turut bertanding dalam kategori yang sama.

"Walau bagaimanapun terdapat sebuah negara yang menarik diri dengan tidak mengemukakan pencalonan setelah tarikh pencalonan ditutup. Satu kerusi Ahli Majlis telah dipindahkan ke Kategori III sejajar dengan keputusan Majlis Perhimpunan Agung setelah kegagalan sebuah negara mendapat undi majoriti bagi membolehkannya dipilih sebagai Ahli Majlis ICAO di bawah Kategori I.

BACA: Penarafan keselamatan udara Malaysia dikembalikan kepada kategori 1

"Ini menyebabkan kerusi Ahli Majlis bagi Kategori III telah meningkat dari 13 kepada 14 dan hasil pengundian menunjukkan, Malaysia telah memperolehi 136 undi. Selain Malaysia, negara anggota ICAO lain yang telah berjaya memenangi pemilihan di bawah Kategori III ialah Bolivia (138), Chile (146), El Salvador (132), Equatorial Guinea (145), Ethiopia (154), Ghana (150), Jamaica (149), Mauritania (143), Qatar (160), Republik Korea (151), Romania (138), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (161) dan Zimbabwe (148)," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.


Kategori III adalah negara-negara yang dipilih untuk memastikan keseluruhan kedudukan geografi dunia mempunyai wakil dalam Majlis ICAO.

Tambah Ka Siong, kejayaan itu adalah hasil sokongan, kerja keras dan dedikasi yang telah ditunjukkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke ICAO, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, para pegawai Kementerian Pengangkutan, Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Ini termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia serta pihak industri penerbangan awam Malaysia khususnya daripada Malaysia Airlines Berhad, AirAsia, Batik Air, Raya Airways, Myjet Express, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd.

"Sejajar dengan kejayaan ini, Malaysia komited untuk terus memberikan komitmen berterusan kepada ICAO untuk mempertahan dan menegakkan aspek-aspek keselamatan penerbangan awam, inovasi dan kemapanan penerbangan global menerusi pembangunan infrastruktur strategik bersama-sama dengan pembinaan keupayaan institusi untuk memenuhi keperluan generasi profesional penerbangan akan datang.

"Pada masa yang sama, Malaysia akan terus memastikan kepentingan sektor penerbangan awam negara sentiasa diambil kira dalam proses penetapan keputusan dan penentuan piawaian penerbangan awam antarabangsa dengan terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan mengenai perkara-perkara tersebut," ujarnya.