PENERBITAN terbaharu oleh EMIR Research mengenai anggaran kerugian akibat rasuah dalam ekonomi Malaysia telah menarik perhatian umum, yang mana merupakan satu perkembangan yang positif.

Apabila rasuah berada di tahap yang membimbangkan, pastinya ia akan mencetuskan kemarahan orang ramai, pemikiran kritikal dan matang, dan tindakan pemulihan yang boleh dipercayai, bukannya penafian secara membuta tuli atau retorik bersifat populis dengan pura-pura berpolitik.

Di kala terdapat suara-suara kecil yang kurang pengetahuan mempersoalkan tentang metodologi penyelidikan, EMIR Research ingin memberikan penjelasan tambahan bagi memudahkan pemahaman tentang metodologi penyelidikan yang digunakan.

Untuk penjelasan sekali lagi, EMIR Research tidak pernah mendakwa bahawa angka tersebut adalah muktamad, sebaliknya, menekankan bahawa ianya adalah satu latihan penyelidikan yang teliti berdasarkan metodologi penyelidikan terbaik dan titik data yang dilaporkan secara terbuka (tempatan dan global) untuk mendapatkan anggaran yang munasabah dan, hakikatnya, anggaran yang sangat konservatif kepada sebuah angka yang amat menakutkan — kerugian ekonomi akibat rasuah dan ketirisan oleh sesebuah negara.

Secara khusus, anggaran itu jelas tidak terhad pada kerugian akibat rasuah dan ketirisan oleh sektor awam sahaja.

Sebaliknya, anggaran ini merangkumi kerugian kewangan keseluruhan (meliputi semua sektor) disebabkan rasuah dan ketirisan di setiap peringkat ekonomi, yang mana pelbagai negara pada masa yang berlainan pernah cuba untuk menganggarkan sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Maka, membandingkan angka anggaran dengan angka belanjawan kerajaan, jelas sekali, bukan sahaja jahil malah tidak relevan.

Dalam usaha untuk menganggarkan kerugian akibat rasuah, EMIR Research telah menggunakan dua metodologi yang berbeza.

Menariknya, kedua-dua metodologi memberikan hasil yang hampir sama.

Bagi pendekatan pertama, EMIR Research menggunakan anggaran yang dilaporkan secara terbuka untuk kerugian ekonomi negara akibat rasuah dalam bentuk peratusan KDNK, khususnya oleh pelbagai pihak berkuasa di Malaysia semasa membina semula trend jangka panjang selama 26 tahun (Jadual 1, untuk keterangan lanjut, rujuk “Kerugian Kewangan Malaysia akibat Rasuah dan Ketirisan – RM4.5 Trilion dalam tempoh 26 tahun”).


Sebagai kaedah alternatif—saintifik dan teliti, EMIR Research pertama sekali menggunakan teknik pemodelan Rasch untuk mencipta pengukuran linear bagi tahap rasuah di pelbagai negara dari tahun 1996 hingga 2022 (jangka masa yang ditentukan berdasarkan ketersediaan data semata-mata), yang kemudiannya dibandingkan dengan anggaran kerugian yang dilaporkan secara terbuka berkaitan rasuah sebagai peratusan KDNK untuk 65 buah negara dalam tempoh yang sama.

Teknik Rasch dibangunkan khusus untuk mendapatkan ukuran linear bagi fenomena yang tidak boleh dilihat dalam sains sosial, seperti tahap rasuah yang dikesan, secara realitinya, mungkin merupakan pembolehubah bukan linear — bermakna mengandaikan jarak yang sama (seperti dalam skala ordinal) antara tahap intensiti fenomena tersebut akan memberikan sebuah harapan yang besar.

Oleh itu, dengan menggunakan teknik ini, EMIR Research menggabungkan pelbagai petunjuk yang diiktiraf di peringkat global menjadi satu ukuran komposit rasuah (sebahagian daripadanya dinyatakan secara jelas dalam skala ordinal) yang juga dilakukan untuk mengelakkan daripada bergantung kepada satu sumber anggaran bagi tahap rasuah di sesebuah negara.

Setelah ukuran komposit bagi tahap rasuah di pelbagai negara dari tahun 1996 hingga 2022 dihitung, mengambil kira ketersediaan data petunjuk global mengenai rasuah (rujuk Rajah 1 untuk perincian petunjuk global yang digunakan), ia kemudian dicatatkan berbanding dengan titik data yang tersedia secara umum untuk pelbagai negara, termasuk Malaysia, bagi kerugian ekonomi negara akibat rasuah dalam bentuk kewangan yang dinyatakan sebagai peratusan KDNK (Rajah 1).




Anggaran yang dilaporkan bagi kos rasuah kepada ekonomi merangkumi laporan daripada pelbagai kerajaan, badan pemikir, agensi anti-rasuah negara, Transparency International, Bank Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan lain-lain.

Benar, beberapa anggaran ini mungkin terlalu rendah atau terlalu tinggi. Tetapi, hubungan regresi antara ukuran Rasch yang diperoleh dan kos rasuah kepada ekonomi sebagai peratusan KDNK (garisan biru dalam Rajah 1) memaparkan sesuatu yang penting, mengambil kira peratusan variasi yang signifikan telah pun dijelaskan.

Seterusnya, persamaan regresi yang diperoleh (Rajah 1) digunakan untuk menganggarkan kos rasuah sebagai peratusan KDNK berdasarkan ukuran Rasch yang dikira bagi rasuah di Malaysia sepanjang tahun yang tersedia (Jadual 2).




Kedua-dua kaedah pengiraan (Jadual 1 dan Jadual 2) menghasilkan keputusan yang hampir sama, menunjukkan anggaran kerugian kewangan langsung kepada ekonomi Malaysia akibat rasuah kira-kira RM2.2 trilion - RM2.3 trilion (RM2.25 trilion secara purata antara kedua-duanya) sepanjang tempoh 26 tahun yang lalu.

Bagi memperoleh jumlah akhir sebanyak RM4.5 trilion, EMIR Research tidak mencampurkan jumlah daripada Jadual 1 dan Jadual 2, seperti yang mungkin disalah tafsir oleh segelintir "cendekiawan DJ".

Sebaliknya, EMIR Research mengambil konsep ekonomi kesan pengganda bagi setiap sen yang disalurkan ke dalam ekonomi, sama ada oleh sektor awam atau swasta.

Setiap sen yang disalurkan secara produktif (berdasarkan keperluan/peluang ekonomi sebenar dan penghargaan) pasti akan mencipta kekayaan yang meluas dalam ekonomi, memberi manfaat kepada ramai orang.

Pengganda-pengganda ini sentiasa lebih besar daripada satu! Oleh itu, dengan mengambil pengganda sekurang-kurangnya 1 (sekurang-kurangnya RM1 kos melepas bagi setiap RM1 kerugian kewangan langsung akibat rasuah), kita boleh mencapai RM2.25 trilion × 2 = RM4.5 trilion, sebagai anggaran yang sangat konservatif bagi kos ekonomi keseluruhan (langsung + melepas) akibat rasuah kepada masyarakat Malaysia.

Dalam konteks ekonomi Malaysia, kesan pengganda yang hilang mungkin cukup besar disebabkan kecenderungan yang terkenal untuk "berbelanja dengan pantas", terutamanya dalam kalangan sektor awam dan tidak lupa juga bahawa Malaysia antara negara dengan peratusan tertinggi Syarikat Berkaitan Kerajaan/Negeri dan Institusi dalam ekonomi.

Berbelanja dengan pantas bermaksud apabila belanjawan (input) diberikan, ia perlu dihabiskan dengan cepat dengan beberapa hasil rawak yang tidak semestinya berkaitan dengan hasil sebenar dan impak antara generasi kepada negara.

EMIR Research telah menekankan berkali-kali bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan budaya "input-output sahaja" ini adalah dengan menginstitusikan rangka kerja Input-Output-Outcome-Impact di setiap peringkat pembuatan keputusan dan perancangan dasar — dari perancangan belanjawan hingga pelaksanaan belanjawan (rujuk cadangan dasar EMIR Research terdahulu: "Menentukur Semula Belanjawan Negara – Membanteras Ketirisan dan Rasuah" dan "Mentransformasikan Malaysia dari negara ketiga kepada negara pertama").


Ringkasnya, kerangka IOOI merupakan penaakulan logik dan kukuh (berdasarkan data, sains, dan ekonomi) bagi seluruh landasan kausal dari inputs (sumber/modal terhad) kepada outputs (manifestasi aktiviti campur tangan yang nyata dan abstrak) kepada outcomes (kelebihan dunia nyata/perubahan hidup) dan akhirnya kepada impacts (matlamat antara generasi tahap tinggi, jika kita berbicara dalam konteks sesebuah negara).

Pentingnya, setiap peringkat dilengkapi dengan satu set metrik untuk mengesan kemajuan dalam mentransformasikan inputs menjadi outcomes dan impacts (Rajah 2).



Dengan kata lain, apabila pembuat dasar memulakan suatu inisiatif, mereka perlu meyakinkan kita, rakyat, bahawa ada asas yang kukuh dalam bentuk bukti empirikal dan badan pengetahuan saintifik yang mantap untuk mempercayai bahawa menggunakan N jumlah sumber pada output khusus akan menghasilkan outcome dan impact antara generasi yang diingini.

Dengan cara ini, kita boleh memastikan bahawa setiap sen yang dihabiskan dalam ekonomi kita mempunyai kesan pengganda yang memberi manfaat kepada RAMAI.

Memandangkan besarnya anggaran kerugian ekonomi akibat rasuah dan ketirisan, meminta siasatan menyeluruh dilakukan bertujuan untuk mendapatkan semula sebanyak mungkin wang yang hilang adalah tindakan yang logik.

Justeru, respons oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah tepat ketika beliau mengerahkan semua agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan yang berkaitan untuk melakukan yang terbaik bagi mendapatkan kembali rampasan yang besar secara tidak sah tersebut.

Emir Research ingin mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kebenaran, Pemulihan, dan Pengampunan (TRAC) untuk secara teliti menjejaki dan mendapatkan kembali wang yang sangat diperlukan bagi pembangunan negara dan rakyat.

Berdasarkan model Suruhanjaya Kebenaran dan Pemulihan Afrika Selatan, TRAC bertujuan untuk menghentikan penderitaan serta kesengsaraan akibat rasuah selama berdekad di Malaysia (bukan rejim apartheid dalam konteks Afrika Selatan).

Melalui TRAC, mereka yang secara sukarela mengembalikan wang, vila percutian, aset bergerak dan/atau tak bergerak, dan lain-lain boleh diberikan pengampunan daripada pendakwaan dengan beberapa sekatan daripada menyertai dan/atau dilantik dalam jawatan awam.

Bagi mereka yang memilih untuk melalui proses siasatan dan pendakwaan serta terbukti bersalah atas rasuah, mereka harus diadili dan diberikan pilihan untuk mendapatkan pengampunan dengan syarat mengembalikan harta yang disalahgunakan.

Memandangkan kerugian terkumpul sangat besar (EMIR Research menekankan bahawa anggaran adalah sangat konservatif), dana yang diperoleh semula akan dijadikan sumber pendapatan kerajaan untuk mengukuhkan defisit belanjawan yang besar dan mengkaji semula untuk kegunaan yang produktif.

Tentunya, mereka yang peka terhadap isu-isu politik mungkin sekali lagi akan menggunakan isu etnisiti, bahawa intervensi seperti itu mungkin merugikan golongan tertentu.

Namun, pembohongan yang diceritakan kepada masyarakat Melayu dan luar bandar selama beberapa dekad (kekuatan utama penguasa politik elit pada masa itu) tidak dapat disembunyikan lagi.

Sekurang-kurangnya, data yang terkumpul menunjukkan dengan sangat jelas bagaimana keadaan ekonomi masyarakat Melayu dan luar bandar semakin merosot dalam beberapa dekad sebelum ini, sementara golongan Bumiputera dalam kumpulan pendapatan tertinggi (teratas 1% dan 10%) mendapat manfaat yang paling besar daripada pertumbuhan ekonomi (untuk bukti statistik dan sumber penyelidikan, rujuk " Penjajahan kejam yang Mat Kilau pun tak sangka" dari 25 Julai 2022).

Secara keseluruhan, sangat bagus jika kajian seperti ini mencetuskan perdebatan awam memandangkan betapa besar impaknya terhadap rakyat dan negara.

Lagi pula, dengan adanya anggaran kerugian ekonomi yang begitu besar akibat rasuah dan ketirisan.

"Universiti tempatan, awam dan swasta, boleh dan mesti mulakan lebih banyak penyelidikan mendalam untuk menentukan kerugian ekonomi negara disebabkan oleh rasuah dan ketirisan.

Selain itu, ia juga boleh mengkaji mengapa amalan sedemikian berlaku, bagaimana untuk menghentikannya dan bagaimana untuk mendapatkan semula harta rampasan melalui saluran undang-undang meskipun proses tersebut boleh menjadi sangat panjang dan menyakitkan."

Kajian tambahan dan pengetahuan mendalam, walaupun menggunakan metodologi yang berbeza, tanpa ragu akan memperkaya dan memperkukuh perbincangan tentang rasuah dan ketirisan dalam ekonomi kita serta beri pengajaran kepada generasi akan datang.

Mungkin, seperti yang dicadangkan, penubuhan TRAC yang diketuai oleh individu dengan kemahiran, pengetahuan, kebolehan, pengalaman, dan integriti yang tidak boleh disangkal lagi, dapat membantu mempercepatkan dan mendapatkan semula wang yang hilang akibat rasuah dan ketirisan selama bertahun-tahun untuk digunakan dalam memulihkan dan menerajui semula ekonomi Malaysia bagi kebajikan RAMAI dan SEMUA.

Kali ini, penggunaan ketat model IOOI, seperti yang dijelaskan sebelum ini, dari perancangan belanjawan hingga pelaksanaan dan pemantauan belanjawan yang berterusan, perlu dilakukan. Ini akan memastikan masalah rasuah dan ketirisan dapat dikurangkan.

Kerja ini mesti bermula dari sekarang.


Dr Rais Hussin adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.