ISTANBUL: Malaysia merasa kesal dengan pendirian beberapa negara barat yang dilihat enggan memberikan dukungan kepada isu-isu kemanusiaan di Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia tegas dengan pendirian supaya segala bentuk serangan ke atas orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak Palestin dihentikan, dan bantuan dari sudut kemanusiaan disalurkan kepada mreka.

Bagaimanapun katanya beberapa pemimpin negara Arab yang telah ditemuinya sehingga kini memberikan respons yang positif terhadap isu yang dibangkitkan Malaysia berhubung perkembangan di Gaza.

"Banyak negara Islam membuat ketetapan yang positif. Hentikan serangan dan tingkatkan usaha membantu rakyat (Gaza) dari segi kemanusiaan," katanya dalam sidang media di hujung lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Turki.

BACA: Hentikan segera serangan di Gaza - PM Anwar

Terdahulu Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Vahdettin di sini, bagi membincangkan perbagai isu termasuk perdagangan, kerjasama ekonomi, hubungan dua hala dan sebagainya.

Perdana Menteri sebelum itu turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kewangan Turkiye Mehmet Simsek, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, dan Pengarah National Intelligence Organisation Turki Ibrahim Kalin.

Anwar berkata dari segi bantuan kepada penduduk Palestin, Turki dilihat berada lebih di hadapan, apabila negara itu telah berusaha menyalurkan pelbagai bentuk bantuan perubatan ke kawasan berkenaan, walaupun terdapat kesukaran untuk ia sampai ke kawasan pedalaman di Gaza.

Sementara itu Perdana Menteri berkata konflik di Gaza amat membimbangkan, kerana sekiranya Israel berkeras cuba menawan wilayah itu, ia akan membawa kepada krisis berpanjangan melibatkan banyak negara Arab.

Anwar kemudiannya berlepas dari lapangan terbang antarabangsa Istanbul, untuk meneruskan lawatan kerja di Mesir dan beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden negara itu Abdel Fattah El-Sisi, dengan isu kemanusiaan terus menjadi tajuk utama perbincangan.

-- BERNAMA