Malaysia kirim poskad khas kepada PBB, desak terima Palestin sebagai negara anggota

Bernama
Januari 17, 2024 23:00 MYT
Anwar berkata, rakyat Malaysia boleh ikut serta dalam kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB dengan membeli poskad itu mulai hari ini. - Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri semalam menandatangani dan mengirim sekeping poskad khas kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri berkata poskad itu adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia agar PBB menerima Palestin sebagai negara anggota serta menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis dihentikan segera.
"Poskad khas ini akan diserahkan menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres," katanya.
Anwar berkata rakyat Malaysia juga boleh ikut serta dalam kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB itu.
Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian dengan membeli poskad itu mulai hari ini di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Bhd.
-- BERNAMA
#poskad #Palestin #PBB #jemaah menteri