BANGKOK: Malaysia komited untuk menjalin kerjasama dengan anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk membangunkan sektor pelancongan secara mampan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri juga mengesyorkan agar penglibatan dan perkongsian pandangan dalam kalangan anggota APEC diadakan secara berterusan dalam digitalisasi, penggunaan teknologi dan pelaburan yang mampan di sektor pelancongan.

"Perkara ini penting bagi memastikan industri pelancongan akan lebih kukuh dan lebih berdaya tahan bagi menghadapi apa jua cabaran serta rintangan pada masa hadapan," katanya di Mesyuarat Menteri-Menteri Pelancongan APEC Ke-11 dan Mesyuarat Berkaitan di Bangkok hari ini,

Mesyuarat yang pertama kali diadakan selepas tahun 2018 itu akan menjadi sebahagian daripada agenda dalam merangka dasar pelancongan di rantau APEC.

Dalam mesyuarat itu, Nancy berkata Malaysia menjangkakan bahawa fasa pemulihan pelancongan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau berkata Malaysia mengakui bahawa sokongan secara bersasar adalah amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan komuniti yang berkaitan industri pelancongan dapat dipulihkan segera.

Tahun lalu, Malaysia telah membelanjakan sebanyak AS$14.6 juta (RM61 juta) bantuan kewangan untuk dimanfaatkan oleh 29, 286 penggiat industri pelancongan, katanya.

"Komitmen itu diteruskan pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak AS$20 juta (RM85 juta) kepada pengendali pelancongan terdiri daripada syarikat pelancongan dan pengembaraan, pengendali pusat spa dan kesihatan, pemilik homestay dan pemandu pelancong bagi membantu mengurangkan beban mereka," katanya.

Nancy juga berkongsi usaha Malaysia untuk memulihkan industri pelancongan dalam jangka sederhana sehingga jangka panjang melalui pelaksanaan tindakan strategik Rangka Kerja Pemulihan Pelancongan 2.0.

Sementara itu, Nancy juga menjemput semua delegasi untuk menyertai World Tourism Conference 2022 (WTC 2022), anjuran bersama Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) yang akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, bermula dari 28 hingga 30 November.

Bertemakan 'Tourism Futures Reimagined', persidangan itu nanti akan menjadi platform bagi membincangkan strategi yang dapat memacu ke arah pemulihan dan ketahanan pelancongan dunia pasca-pandemik.

-- BERNAMA