Malaysia bakal mencapai pengurangan 35 peratus intensiti pelepasan gas rumah hijau kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, (KDNK) menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata ia selari dengan komitmen negara untuk mengurangkan pelepasan karbon sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020.

"Dalam persediaan negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, kita perlu menyesuaikan dengan ekonomi yang memberikan keseimbangan tepat antara pendekatan hijau dan pro-perniagaan.

"Kedua-duanya boleh digabungkan menerusi pengenalan teknologi hijau yang baharu dan berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan dan meningkatkan kebajikan rakyat," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau dan Eko, IGEM 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan mensasarkan 40 peratus daripada sisa buangan dikitar semula menjelang 2020.

"Malaysia mampu mengitar semula 40 peratus daripada sisa buangan menjelang 2020 dan buat masa ini ia mencapai tahap 14 peratus."

"Ini merupakan faedah ekonomi negara melalui penjimatan sebanyak RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang," jelas beliau.

Pada masa sama, jelas Najib kitar semula mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baru kepada negara.

"Sebanyak 36,000 tan sisa buangan yang dihasil rakyat Malaysia setiap hari. 30 peratus daripadanya berjaya dikitar semula dan ia mempunyai potensi ekonomi negara sebanyak RM788 juta setahun," kata Najib.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Langkawi berpotensi menjadi pulau rendah karbon pertama di negara ini.

Ia mampu dicapai hasil kerjasama Malaysia dan Korea Selatan yang menjadikan Pulau Jeju sebagai contoh kajian kedua-dua negara.

"Jika Langkawi boleh menjadi contoh bagi tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, pengurusan sisa buangan dan bangunan hijau, ia akan memanfaatkan industri tempatan," kata Najib.