Malaysia komited memastikan penginapan disediakan untuk pekerja - Sim

Malaysia komited memastikan penginapan yang disediakan kepada pekerja selaras dengan piawaian yang ditetapkan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Malaysia komited memastikan penginapan yang disediakan kepada pekerja selaras dengan piawaian yang ditetapkan di peringkat antarabangsa, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan sentiasa mengambil pendirian tegas dalam mengawal selia dan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan 1990 (Akta 446).
Beliau berkata pindaan Akta 446 pada 2020 merupakan antara langkah berani Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam memperkukuh akta tersebut daripada penyediaan penginapan hanya untuk sektor perladangan dan perlombongan diperluas kepada semua sektor dan majikan.
"Penginapan pekerja adalah perkara utama dalam memastikan hak asasi manusia dan keperluan asas dipenuhi, dan ia bukan satu kelebihan atau keistimeaan. Keadaan tempat tinggal yang baik penting untuk kesihatan, keselamatan dan produktiviti pekerja.
"KESEMUA akan terus menambah baik akta tersebut bagi memastikan penginapan pekerja yang disediakan adalah kondusif dan selesa," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari di Persidangan Pemeriksaan Buruh ASEAN (ALIC) ke-14 di sini hari ini.
KESUMA menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) menganjurkan ALIC ke-14 dengan tema "Kemampanan Penginapan dan Kemudahan Pekerja adalah Penghormatan kepada Maruah dan Kesamarataan Manusia".
Persidangan dihadiri oleh Pusat Tumpuan Pemeriksaan Buruh ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Sekretariat ASEAN, Konfederasi Majikan ASEAN (ACE), Majlis Kesatuan Sekerja ASEAN (ATUC), Majlis Kesatuan Sekerja Perkerja Perkhidmatan (ASETUC), Persatuan Pemeriksaan Buruh Antarabangsa (IALI), Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) dan UN Women.
Sim berkata tema persidangan tahun ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam meningkatkan sistem pemeriksaan buruh di rantau ini.
Beliau berkata Malaysia berharap kerjasama serantau akan terus diperkukuh melalui pembentukan garis panduan bagi perumahan pekerja yang mampan merangkumi aspek kualiti hidup, kesihatan mental dan keselamatan.
"Kerjasama dengan majikan perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan pematuhan terhadap piawaian yang telah ditetapkan dan menjadikan ALIC sebagai platform bagi bertukar pandangan serta berkongsi amalan terbaik dalam kalangan negara anggota," katanya.
Sim berkata peranan pegawai pemeriksa buruh perlus sentiasa diperkukuh dan dilengkapi dengan pengetahuan luas, dan persidangan itu turut menekankan komitmen bersama negara anggota ASEAN untuk menegakkan keadilan sosial bagi pekerja.
Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota baharu ASEAN, menyifatkan ia sebagai mencerminkan visi inklusif dan progresif blok tersebut dalam membangunkan agensi buruh serantau.
Sementara itu, KESUMA dalam kenyataan memaklumkan objektif persidangan adalah untuk memperkukuh dasar, standard dan penguatkuasaan berkaitan penginapan pekerja bagi melindungi hak golongan tersebut di seluruh ASEAN.
Menurut KESUMA persidangan itu juga menjadi platform bagi membincangkan isu, cabaran dan berkongsi amalan baik serta bertukar pengetahuan dalam kalangan negara anggota bagi memastikan kebajikan, maruah serta keselamatan pekerja dilindungi.
Persidangan itu juga mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam meningkatkan keadilan sosial pekerja, seterusnya memperkukuh peranan dan kapasiti pegawai pemeriksa buruh di rantau ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


