KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk menyumbang secara aktif untuk kebaikan Komanwel, rantau Asia Pasifik dan dirinya menerusi penyertaan dalam Kumpulan Bertindak Menteri Undang-Undang Komanwel (LMAG).

Menzahirkan tanda terima kasih kerana Malaysia diberi peluang untuk menyertai mesyuarat sulung LMAG semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata Malaysia merasa bangga dengan peranannya sebagai satu daripada tiga wakil dari rantau Asia Pasifik.

AGC berkata dalam mesyuarat itu Malaysia diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, yang dipilih selaku seorang daripada tiga wakil terkemuka untuk Komanwel dalam rantau Asia Pasifik.

"Pelantikan berprestij ini meletakkan beliau bersama-sama rakat sejawat dari negara-negara lain termasuk Menteri Undang-Undang dari Tanzania, Namibia, Mauritius, Samoa, Bangladesh, Jamaica, St Kitts and Nevis, Malta, dan Rwanda," kata AGC dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, pembentukan LMAG adalah keputusan kemuncak dibuat dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOLM) Kementerian Undang-Undang dan Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) yang berlangsung dari 22 hingga 25 Nov 2022 di Balaclava, Mauritius.

"LMAG menjadi sebuah platform untuk menilai kemajuan dan menyediakan bimbingan terhadap strategi utama, pelan tindakan dan projek berkaitan kedaulatan undang-undang, akses sama rata kepada keadilan.

Bidang tumpuan termasuk menggalakkan negara-negara anggota merealisasikan 16 Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) mereka, melaksanakan keputusan dan pelan tindakan yang diterima pakai Menteri Undang-Undang dalam mesyuarat dwitahunan mereka dan melaksanakan keputusan yang disyorkan Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel dalam mesyuarat dwitahunan mereka," katanya.

Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland menyampaikan ucapan sulungnya dalam mesyuarat yang berlangsung secara sidang video sementara Maneesh Gobin, Peguam Negara dan Menteri Luar, Integrasi Serantau dan Perdagangan Antarabangsa Mauritius mempengerusikan mesyuarat itu.

-- BERNAMA