NATIONAL
AS-Malaysia kukuh kerjasama pertahanan serantau

Kagan berkata kerjasama pertahanan dua hala AS dan Malaysia semakin erat, mencerminkan komitmen terhadap keselamatan serantau jangka panjang. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kehadiran anggota dan aset ketenteraan Amerika Syarikat di LIMA 25 menandakan pengukuhan kerjasama strategik antara AS dan Malaysia dalam bidang pertahanan dan sektor komersial serantau.
Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 25), yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei, menyaksikan penyertaan menyeluruh Amerika Syarikat, termasuk tentera dan wakil industri pertahanan, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala.
“LIMA 25 menzahirkan pendalaman kerjasama pertahanan dan ekonomi antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta komitmen bersama terhadap keselamatan serantau,” kata Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dalam satu kenyataan pada Selasa.
“Daripada pesawat dan kapal perang kami hinggalah kepada syarikat dan para inovator kami, kehadiran Amerika di LIMA 25 memperlihatkan keterlibatan ketenteraan dan komersial yang kukuh di seluruh rantau ini."Kami berbangga untuk berdiri bersama Malaysia sebagai rakan kongsi, sahabat dan pendukung kepada Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, demi membina rantau yang lebih selamat, kukuh dan makmur," jelas beliau.
Pameran dwitahunan ini bukan sahaja mempamerkan aset ketenteraan seperti pesawat C-130J Hercules dan kapal pemusnah USS Lenah Sutcliffe Higbee, malah turut merangkumi demonstrasi udara, ceramah teknologi dan kerjasama industri.
Manakala, Naib Laksamana Fred Kacher, Komander Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat berkata Malaysia terus menjadi rakan utama kami di Indo-Pasifik.
“Kami melaksanakan pelbagai latihan dan pertukaran setiap tahun di laut dan di darat bagi memperkukuh kerjasama erat serta kesedaran domain maritim yang menjadikan kedua-dua angkatan laut kami lebih cekap," katanya.
Laksamana Madya Fred Goldhammer, Komander Kumpulan Serangan Pengangkut 11, turut menegaskan kepentingan keterlibatan bersama dalam landskap keselamatan maritim serantau yang semakin mencabar.
“Penyertaan kami dalam pameran pelbagai negara yang dinamik ini menjadi bukti keupayaan kami untuk beroperasi secara bersama dalam landskap maritim yang mencabar dan sentiasa berubah,” katanya.
Lebih 400 anggota tentera AS mengambil bahagian dalam LIMA 25, menonjolkan hubungan pertahanan yang erat serta sokongan terhadap kestabilan, keselamatan dan pembangunan keupayaan rantau Asia Tenggara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami