Malaysia berada di kedudukan ke-35 dalam senarai negara paling bahagia di dunia berdasarkan kajian oleh World Happiness Report 2018 yang dijalankan oleh United Nations Sustainable Development Network (SDSN).

Mengumumkan pencapaian itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, kedudukan itu berdasarkan 156 buah negara yang menyertainya.

“Saya berharap kita semua dapat memainkan peranan besar dalam memastikan kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diberi keutamaan,” kata beliau.

Khalid berkata demikian semasa berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan sempena Hari Kebahagiaan Sedunia 2019.

Hari Kebahagiaan Sedunia dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2013 dan disambut setiap 20 Mac bagi mewujudkan kesejahteraan dan keamanan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, kajian Indeks Kebahagian di Malaysia yang dijalankan oleh PLANMalaysia pula mendapati tahap kebahagian rakyat Malaysia berada di tahap yang sihat.

Kuala Terengganu, Petaling Jaya dan Manjung menjadi antara 10 kawasan yang mencatat penduduk paling bahagia daripada 101 lokas yang ditinjau PLANMalaysia.

Menurut Khalid, indeks kebahagiaan itu dinilai berdasarkan 14 aspek utama kehidupan.

“Ini termasuk persekitaran yang bersih dan komunikasi yang berkesan untuk menyelesaikan isu keselamatan.

"Faktor lain ialah hubungan erat antara jiran dan pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap," katanya lagi.