KUALA LUMPUR:Malaysia tidak lagi boleh mendakwa menjadi antara negara yang berjaya mengawal pandemik COVID-19, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selepas lonjakan jangkitan baru-baru ini, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, negara terlepas peluang untuk menguruskan gelombang ketiga pandemik dengan lebih baik pada bulan Oktober ketika kerajaan tidak melarang perjalanan antara negeri dan mengenakan langkah-langkah yang lebih ketat.

Singapura sebaliknya kata Najib, mengambil tindakan tegas untuk membendung penyebaran pekerja migran termasuk kuarantin di asrama dan menghalang mereka daripada bekerja sehingga bebas COVID-19.

Republik itu pada April mencatat lonjakan mendadak dalam kes yang melibatkan kebanyakan pekerja asing.

Najib berkata, kerana langkah-langkah tersebut, penularan tempatan di Singapura adalah yang terendah walaupun statistik COVID-19 mereka jauh lebih tinggi mengikut peratusan kerana jumlah penduduknya.

Sementara Malaysia katanya, mencatat penularan tempatan terburuk di Asean, malah melebihi Filipina pada minggu lalu.

"Kita tidak lagi boleh mendakwa bahawa Malaysia adalah antara negara yang berjaya menguasai COVID-19.

"Kita perlu belajar dari kesilapan dan menyedari bahawa langkah yang lebih ketat pada peringkat awal dapat mencegah malapetaka dalam jangka panjang," katanya dalam catatan di Facebook.

Pada awal bulan, Najib memberitahu Perikatan Nasional (PN) telah mengakui gagal menangani wabak tersebut di negara ini, berikutan peningkatan rekod kes baharu.

Sehingga kini, negara ini telah melaporkan 165,371 kes dengan 619 kematian.