awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
AirBorneo lancar penerbangan pertama, catat era baharu dalam kesalinghubungan Sarawak
64 kampung di Terengganu dikhuatiri terjejas susulan fenomena air pasang tinggi
Ekonomi Singapura tumbuh 5.7 peratus pada suku keempat 2025
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Koperasi masjid di Malaysia: Memperkasa ekonomi ummah menjelang 2026

Dagang News
Dagang News
02/01/2026
05:00 MYT
Koperasi masjid di Malaysia: Memperkasa ekonomi ummah menjelang 2026
Koperasi masjid di Malaysia berperanan untuk mengembalikan fungsi asal masjid sebagai pusat ekonomi, bukan sekadar tempat ibadah semata-mata. -Foto Dagang News
KUALA LUMPUR: Masjid dalam sejarah Islam tidak pernah sunyi daripada urusan dunia. Ia bukan sekadar tempat sujud, tetapi juga tempat musyawarah, perdagangan, pendidikan, dan kebajikan.

Ringkasan AI
  • Koperasi masjid di Malaysia berperanan untuk mengembalikan fungsi asal masjid sebagai pusat ekonomi, bukan sekadar tempat ibadah semata-mata.
  • Hanya kurang daripada 10 peratus masjid di negara ini mempunyai koperasi sebagai instrumen ekonomi, dengan anggaran keseluruhan ahli koperasi antara 45,000 hingga 50,000 orang.
  • Koperasi masjid, contohnya Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya, membantu komuniti dengan aktiviti ekonomi seperti peruncitan, pembinaan, dan pelancongan, serta memberi sumbangan sosial yang melampaui keuntungan kewangan.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini
Namun, dalam perjalanan moden yang panjang, masjid sering dikecilkan fungsinya menjadi ruang ibadah semata-mata, terpisah daripada denyut ekonomi masyarakat sekelilingnya.
Koperasi masjid lahir sebagai usaha mengembalikan makna itu. Ia bukan gagasan baharu, tetapi usaha menghidupkan kembali roh lama dalam bentuk yang sesuai dengan zaman.
Landskap Koperasi Masjid di Malaysia
Hari ini, di seluruh Malaysia, terdapat sekitar 600 hingga 650 buah koperasi kariah masjid yang telah ditubuhkan. Angka ini kelihatan memberangsangkan, namun hakikatnya ia masih kecil jika dibandingkan dengan lebih 6,800 buah masjid yang berdiri megah di seluruh negara.
Ertinya, kurang daripada 10 peratus masjid mempunyai koperasi sebagai instrumen ekonomi.
Dari sudut keahlian pula, jumlah keseluruhan ahli koperasi masjid dianggarkan antara 45,000 hingga 50,000 orang.
Mereka terdiri daripada warga kariah, pesara, penjawat awam, peniaga kecil, dan segelintir anak muda yang mula melihat koperasi bukan sebagai organisasi lapuk, tetapi sebagai wadah ekonomi berteraskan nilai.
Namun, di sebalik angka, realitinya tidak seragam. Ada koperasi yang sekadar wujud atas kertas. Ada yang aktif tetapi rapuh. Dan ada juga yang benar-benar berkembang menjadi nadi ekonomi komuniti.
Negeri Terbanyak dan Paling Aktif
Berdasarkan pengamatan saya sepanjang menghadiri konvensyen, bengkel, dan sesi libat urus koperasi, beberapa negeri jelas mendahului.
Selangor muncul sebagai antara negeri terbanyak dan paling aktif koperasi masjid, diikuti oleh Johor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak.
Kepadatan penduduk, kekuatan ekonomi setempat, dan sokongan institusi negeri menjadikan koperasi masjid di negeri-negeri ini lebih berani meneroka bidang baharu.
Namun, keberanian sahaja tidak mencukupi. Koperasi yang benar-benar aktif biasanya mempunyai tiga perkara asas: kepimpinan yang berintegriti, pengurusan yang berdisiplin, dan sokongan padu kariah.
Nilai Pelaburan dan Aset Ummah
Jika digabungkan secara nasional, jumlah syer dan modal koperasi masjid dianggarkan melebihi RM15 juta, manakala nilai aset keseluruhan menghampiri RM35 hingga RM40 juta.
Angka ini mungkin kecil jika dibandingkan dengan sektor korporat, tetapi besar maknanya jika dilihat sebagai modal sosial ummah.
Lebih penting daripada angka ialah potensi. Jika setiap koperasi masjid berkembang secara mampan dengan tadbir urus yang baik, jumlah ini mampu berganda dan menjadi sumber ekonomi alternatif kepada masyarakat Islam bandar dan luar bandar.
Aktiviti Koperasi Masjid: Dari Asas ke Ekosistem
Secara umum, aktiviti koperasi masjid di Malaysia merangkumi:
Kedai runcit dan pasar mini
Katering dan penyediaan makanan
Perkhidmatan pelancongan dan umrah
Pengurusan hartanah dan sewaan
Pembinaan kecil dan penyelenggaraan
Latihan, pendidikan, dan perkhidmatan profesional
Aktiviti ini mungkin kelihatan biasa, tetapi apabila dijalankan secara kolektif, ia menjadi ekosistem ekonomi yang mengikat ahli, peniaga, dan komuniti.
Sumbangan Sosial yang Tidak Tercatat
Koperasi masjid menyumbang lebih daripada keuntungan kewangan. Ia menyumbang kepada:
Peluang pekerjaan untuk anak kariah
Bantuan kebajikan yang tersusun dan bermaruah
Sokongan kepada usahawan kecil
Pengukuhan ukhuwah, kerana ekonomi yang dikongsi melahirkan rasa memiliki
Saya menyaksikan sendiri bagaimana koperasi masjid menjadi jambatan antara golongan berada dan yang memerlukan, bukan melalui sedekah semata-mata, tetapi melalui sistem yang adil dan berterusan.
Cabaran yang Perlu Diakui
Namun, kita tidak boleh menafikan cabaran besar yang dihadapi koperasi masjid:
Kekurangan tenaga profesional
Tadbir urus yang lemah
Kekeliruan peranan antara masjid dan koperasi
Ketakutan untuk berubah dan mengambil risiko
Masjid ialah institusi ibadah. Koperasi ialah entiti perniagaan. Kedua-duanya mesti bergerak seiring, tetapi dengan sempadan yang jelas dan saling menghormati.
Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya: Dari Kariah ke Negara
Dalam landskap inilah Koperasi Masjid Nurul Yaqin Kelana Jaya berdiri, bukan sebagai yang sempurna, tetapi sebagai contoh bahawa koperasi masjid boleh berkembang secara berdisiplin dan berimpak.
Saya menulis sebagai seseorang yang pernah menggalas amanah sebagai setiausaha koperasi ini, dan menyaksikan sendiri jatuh bangun perjalanannya.
Dengan izin Allah dan usaha kolektif, koperasi ini diiktiraf dua kali sebagai koperasi masjid terbaik di Malaysia, pada tahun 2023 dan 2025.
Pengiktirafan itu bukan untuk dibanggakan, tetapi untuk dipertanggungjawabkan.
Model Perniagaan Nurul Yaqin: Membumi dan Relevan
Koperasi Masjid Nurul Yaqin membangunkan aktivitinya berpandukan satu prinsip: berniaga mengikut keperluan komuniti.
Dalam sektor peruncitan, koperasi menggerakkan jualan keperluan asas dan produk komuniti, memastikan wang kariah beredar dalam ekosistem sendiri.
Bidang renovasi dan penyelenggaraan rumah pula menyusun kepakaran anak kariah dalam sektor binaan, menjadikan koperasi sebagai penyelaras yang telus dan profesional.
Melalui sektor kembara dan pelancongan, koperasi mengurus perjalanan ziarah dan umrah secara patuh syariah, menggabungkan ibadah dan pengurusan yang beramanah.
Dalam rantaian makanan, koperasi mengendalikan bekalan ayam dan mengusahakan Kedai Ayam Pak Sheikh, menyediakan ayam segar dengan harga berpatutan serta membuka peluang pekerjaan.
Setiap pagi, jualan sarapan pagi menghidupkan perkarangan masjid — bukan sekadar mengenyangkan perut, tetapi menghidupkan suasana.
Menjelang bulan Ramadan, koperasi menjadi penggerak jualan kuih, menyokong pembuat kuih kecil dan menyusun persiapan menyambut Aidilfitri. Tradisi dipelihara, ekonomi diperkasakan.
Harapan Menjelang 2026
Menjelang tahun 2026, harapan saya sederhana tetapi besar maknanya:
Lebih banyak masjid berani menubuhkan koperasi yang aktif
Generasi muda mengambil alih kepimpinan dengan bimbingan orang lama
Koperasi masjid menjadi rakan strategik zakat dan wakaf
Masjid kembali menjadi pusat ekonomi ummah
Jika ini tercapai, koperasi masjid tidak lagi dilihat sebagai pelengkap, tetapi sebagai tiang ekonomi ummah.
Namun, apabila kita berbicara tentang koperasi masjid, satu salah faham sering berlegar bahawa koperasi ini hanyalah ruang untuk warga emas, pesara, atau ahli jawatankuasa masjid semata-mata. Persepsi ini, jika tidak diperbetulkan, akan mengecilkan potensi sebenar koperasi masjid sebagai institusi ekonomi komuniti.
Hakikatnya, koperasi masjid bukan milik segelintir. Ia milik semua yang berada dalam lingkungan manfaatnya.
Belia, Profesional, dan Peniaga Kecil
Dalam koperasi masjid, belia sering dianggap belum matang. Tetapi realitinya, belia membawa literasi digital, kefahaman pasaran, dan keberanian mencuba.
Ada anak muda terlibat dalam pemasaran, pengurusan media sosial, dokumentasi, dan idea perniagaan baharu. Mereka mungkin tidak fasih istilah koperasi, tetapi mereka faham dunia hari ini.
Golongan profesional pula — jurutera, akauntan, guru, pegawai kerajaan — menyumbang kepakaran. Ada yang membantu dalam tadbir urus, ada yang menasihati secara sukarela, ada yang menjadi rakan strategik. Mereka mungkin tidak duduk dalam jawatankuasa, tetapi kehadiran mereka memperkukuh struktur koperasi.
Peniaga kecil sekitar masjid juga tidak dipinggirkan. Mereka bukan pesaing, tetapi rakan ekosistem. Koperasi bukan datang untuk mematikan rezeki orang, tetapi untuk menyusun dan memperbesarkannya secara bersama.
Koperasi untuk Komuniti, Bukan Elit Masjid
Prinsip ini penting: koperasi masjid mesti dilihat sebagai koperasi komuniti.
Ia tidak boleh menjadi kelab tertutup. Ia tidak boleh dikuasai oleh segelintir nama yang sama dari tahun ke tahun.
Jika itu berlaku, koperasi akan mati perlahan-lahan — bukan kerana kekurangan modal, tetapi kerana kehilangan kepercayaan. Inilah roh koperasi yang sebenar.
Menuju 2026: Membina Koperasi Inklusif
Menjelang tahun 2026, saya mengharapkan satu perubahan besar dalam cara kita melihat koperasi masjid.
Saya mengharapkan:
Koperasi masjid yang inklusif, melibatkan belia, profesional, wanita, dan peniaga kecil
Keahlian terbuka, selagi patuh kepada nilai dan peraturan
Latihan berterusan, bukan hanya kepada jawatankuasa, tetapi kepada ahli
Pemisahan jelas antara tadbir urus masjid dan operasi koperasi, supaya kedua-duanya profesional
Kerjasama antara koperasi masjid, bukan bergerak secara terasing
Jika ini berlaku, koperasi masjid tidak lagi dilihat sebagai projek sampingan, tetapi sebagai institusi ekonomi komuniti yang berdaya tahan.
Amanah yang Berterusan
Koperasi masjid bukan milik jawatankuasa. Ia milik ummah. Selagi masjid menjadi pusatnya, koperasi akan terus menjadi nadinya. Tetapi milik seluruh komuniti — yang solat di situ, yang tinggal di sekitarnya, yang mencari rezeki di bawah naungannya.
Jika masjid ialah jantung, maka koperasi ialah aliran darahnya. Dan darah yang sihat mesti mengalir ke seluruh tubuh, bukan berhenti pada satu bahagian sahaja.
Amanah ini besar. Dan perjalanan ini masih panjang, belum selesai. - DagangNews.com

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapa jumlah koperasi kariah masjid yang terdapat di Malaysia? A: Terdapat sekitar 600 hingga 650 buah koperasi kariah masjid di Malaysia.
  • Q: Apakah jumlah anggaran keseluruhan ahli koperasi masjid di Malaysia? A: Jumlah anggaran keseluruhan ahli koperasi masjid di Malaysia antara 45,000 hingga 50,000 orang.
  • Q: Nama-nama negeri yang disenaraikan sebagai antara negeri terbanyak dan paling aktif dalam koperasi masjid? A: Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak disenaraikan sebagai antara negeri terbanyak dan paling aktif dalam koperasi masjid.

Topic Berkaitan
#Koperasi masjid
#masjid sebagai pusat ekonomi
#aktiviti ekonomi
#peruncitan pembinaan dan pelancongan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan